SEBANYAK 149 lagu gubahan P Ramlee diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan, lapor Bernama, langkah yang menjadikan karya seniman agung itu sebagai khazanah budaya negara.
Selain lagu-lagu karyanya, dua trofi anugerah Festival Filem Asia Pasifik yang beliau menangi juga kini jadi khazanah warisan negara, iaitu Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk filem Madu Tiga pada 1964 dan Anugerah Seniman Serba Boleh yang diberikan kepada beliau pada 1965.
Perisytiharan dibuat oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi mengikut peruntukan Akta Warisan Negara 2005.
“Pada petang ini saya mengisytiharkan sejumlah butiran warisan sebagai Warisan Kebangsaan dan apa yang istimewa ialah hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee turut tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan khususnya lagu-lagu ciptaan beliau,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Pengumuman itu dibuat pada majlis perisytiharan warisan kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini.
Antara lagu yang kini menjadi warisan negara itu termasuk Getaran Jiwa, Malam Bulan Dipagar Bintang, Bunyi Gitar, Tunggu Sekejap dan Anakku Sazali, yang kebanyakannya daripada filem-filem arahan dan lakonan P Ramlee.
Usaha menjadikan karya ciptaan P Ramlee sebagai khazanah budaya negara bermula sekurang-kurangnya sejak 2010 apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada masa itu menubuhkan Tabung Amanah Tan Sri P Ramlee dengan kerjasama Amanah Raya Berhad.
Menurut laporan media, tujuan asal tabung itu ialah membantu waris P Ramlee sekiranya memerlukan bantuan selepas timbul isu mengenai royalti karya seniman agung itu tidak dibayar dengan sewajarnya kepada waris. Dana tabung itu dicadang dikumpulkan daripada hasil royalti P Ramlee.
Pada Ogos 2010, Ismail dipetik berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan untuk mengembalikan semula hak cipta segala jenis karya seni seniman agung itu kepada warisnya.
Beberapa tahun lalu, waris P Ramlee pernah meminta kerajaan sebelum ini campur tangan dalam soal royalti filem, yang hak ciptanya dipegang oleh Shaw Brothers. Pada tahun 2000, syarikat Hong Kong itu menjual seluruh khazanah filemnya kepada Astro Shaw.
Keseluruhannya 225 objek diisytiharkan sebagai warisan negara hari ini antaranya manik Sarawak, sirih junjung, ukiran patung dan topeng Mah Meri, permainan tradisi baling tin, tarian asyik, randai dan kuda kepang.
Sejumlah 24 bangunan atau monumen diumumkan sebagai tapak warisan kebangsaan antaranya Kota Malawati di Selangor serta Khoo Kongsi, Masjid Melayu Leboh Aceh dan Masjid Kapitan Kling di Pulau Pinang.
Dua bangunan lama iaitu Dewan Tuanku Abdul Rahman dan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) serta bangunan asal Dewan Bahasa dan Pustaka juga disenaraikan sebagai tapak warisan, selain Istana Budaya dan Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Enam tokoh seni budaya turut dinamakan sebagai warisan kebangsaan orang hidup meliputi seni boria, rodat, dondang sayang, ukiran Melayu, gendang 24 perayaan dan teromba penglipur lara.
Menurut Mohammadin, pewartaan warisan ini akan memberi impak positif melangkaui pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.
“Ia turut menjana ekonomi kepada negara melalui produk pelancongan warisan,” katanya. – 17 Oktober, 2018
Komen