AHMAD Zahid Hamidi hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) tepat pukul 3 petang hari ini, untuk kali yang keenam bagi membantu siasatan agensi anti rasuah itu terhadapnya.
Beliau yang tiba dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda ditemani barisan peguamnya.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mengumumkan dua pegawai SPRM menyerahkan notis kepada Zahid agar hadir ke Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Dalam kenyataannya semalam Lokman juga berkata Zahid dijangka akan didakwa esok.
SPRM menyiasat Zahid berhubung dakwaan salah guna dana sebuah yayasan amal, Yayasan Akal Budi milik keluarga bekas timbalan perdana menteri itu, yang beliau adalah pengerusinya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menyeleweng RM800,000 dari yayasan tersebut untuk membayar bil kad kreditnya dan isteri.
Minggu lepas, beliau disiasat SRPM selama tiga hari berturut-turut.
Anak Zahid, Nurul Hidayah dan abangnya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi juga dipanggil untuk membantu siasatan.
Pada Julai, SPRM menyoal siasat Zahid sebanyak dua kali berhubung kes sama. – 18 Oktober, 2018.
Komen