PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai untuk meneruskan soal siasat berhubung kes rasuah.
Ini kali keempat bekas timbalan perdana menteri berkenaan dipanggil oleh badan pencegah rasuah itu.
Zahid tiba jam 9.16 pagi tadi, ditemani peguamnya dengan menaiki kenderaan SUV Lexus berwarna putih.
Tidak ada penyokong kelihatan menyambut kedatangannya.
Anak perempuan Zahid, Nurulhidayah tiba jam 9.23 pagi tadi.
Pada Julai, SPRM menyoal siasat Zahid sebanyak dua kali berhubung Yayasan Akal Budi.
Dilaporkan bahawa RM800,000 didakwa diselewengkan daripada yayasan itu, bagi membayar bil kad kredit Zahid dan isterinya.
Bagaimanapun, Zahid berkata perkara itu berlaku disebabkan kesilapan pembantunya. – 11 Oktober, 2018.
The Malaysian Insight membawakan kepada anda secara langsung dari ibu pejabat SPRM:
6.31pm: Zahid meninggalkan bangunan SPRM selepas sembilan jam memberi keterangan dan akan kembali ke agensi itu esok untuk siasatan lanjut.
4.15pm: Sumber daripada SPRM berkata Zahid sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan pejabat atau kedudukan untuk mendapatkan suapan, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan serta jenayah pecah amanah.
2.55pm: Nurulhidayah melambaikan tangan kepada pengamal media ketika melangkah turun selepas menunaikan solat.
2.35pm: Nurulhidayah dilihat berada di kompleks SPRM. Beliau memberi isyarat ingin menunaikan solat.

11.30am: Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam tidak akan ke SPRM untuk menunjukkan sokongan kepada Zahid, berkata beliau berbuat demikian atas arahan presiden Umno itu sendiri.
10.45am: Penyokong Zahid masih tidak kelihatan di perkarangan premis SPRM.
10.00am: Nurulhidayah kelihatan duduk bersarapan di kafeteria SPRM.
9.25am: Media hanya dibenarkan masuk ke dalam premis selepas ketibaan Zahid dan anak perempuannya.
9.16am: Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat SPRM.
9.23am: Anak perempuan Zahid, Nurulhidayah tiba di SPRM.
Komen