RIBUAN ibu bapa menyokong langkah kementerian mewajibkan anak mereka memakai kasut sekolah berwarna hitam, kata Dr Maszlee Malik.
Orang boleh melawak mengenainya tetapi yang penting ibu bapa bersetuju, kata menteri pendidikan itu.
“Apa sahaja boleh dikata tetapi mereka (ibu bapa) merasakan akhirnya mereka didengar,” katanya di TV3 malam tadi.
Maszlee berkata perubahan kod pakaian itu diminta ibu bapa.
Kementerian pada Ahad lalu mengumumkan dasar pemakaian kasut sekolah hitam ditangguh ke 2021 selepas rancangan melaksanakannya tahun depan ditentang.
Laporan Utusan Malaysia yang mendapat liputan meluas turut mencetuskan kritikan pedas pengguna media sosial yang menggesa menteri tersebut tidak terlalu memberi perhatian kepada isu picisan.
Semalam, Maszlee menegur media kerana memberi tumpuan kepada kenyataannya mengenai perubahan warna stoking tahun depan.
Beliau menyoal mengapa media memberi liputan kepada stoking sedangkan rakyat lebih bimbangkan isu kualiti pendidikan.
“Jika kamu media mula mensensasikan perkara remeh ini, kamu ingat orang tidak akan bercakap mengenainya?
“Media sepatutnya bercakap mengenai perkara yang lebih ilmiah.” – 18 Oktober, 2018.
Komen