Maszlee selar media berhubung isu stoking


Noel Achariam

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika berucap di Bahagian Teknologi Pendidikan di ibu negara hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oeh Najjua Zulkefli, 16 Oktober, 2018

MASZLEE Malik sekali lagi menyelar pihak media kerana memfokuskan kritikan terhadap Kementerian Pendidikan berhubung isu warna stoking.

Menteri pendidikan itu mempersoalkan mengapa media memberi perhatian kepada stoking apabila masyarakat lebih mengambil perhatian mengenai kualiti pendidikan. 

“Jika kamu media mula mensensasikan perkara remeh ini, kamu ingat orang tidak akan bercakap mengenainya?

“Media sepatutnya bercakap mengenai perkara yang lebih ilmiah,” katanya selepas merasmikan program anugerah sekolah cemerlang di Bukit Kiara hari ini.

Terdahulu, Maszlee mengkritik Utusan Malaysia dan bekas perdana menteri Najib Razak kerana terlalu cepat mensensasikan “perkara remeh”, namun mengabaikan isu yang lebih penting yang diusahakan kementerian. 

Maszlee menerusi akaun Twitternya berkata: “Saya cakap perkara trivial kurang satu minit @UMonline sensasikan, DS @NajibRazak pun berminat. 

Twitter Maszlee menjadi rujukan bagi laporan Utusan Malaysia semalam memetik menteri berkenaan sebagai berkata beliau sedang dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk menentukan warna stoking sekolah bermula tahun depan. 

Najib menyindir Maszlee di Facebook kerana “berpandangan jauh” dalam nenentukan warna stoking sekolah. 

“Saya bincang perkara penting, hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?” tambah Maszlee menerusi Twitter.

Bernama semalam melaporkan Maszlee sebagai berkata perbincangan sedang dijalankan berhubung koordinasi antara hospital swasta dan hospital universiti bagi memastikan tiada pertindihan tugas dan pembelajaran boleh diteruskan tanpa halangan.

Naib presiden Persatuan Peruncit Bumiputera Ameer Ali Mydin meminta kementerian untuk menjelaskan sama ada sekolah rendah dan sekolah menengah perlu dibenarkan memakai stoking hitam tahun depan. 

Kementerian pada Sabtu turut mengumumkan arahan kasuh sekolah hitam akan ditangguhkan ke 2021 selepas rancangan untuk melaksanakannya tahun depan berdepan bantahan. 

Laporan Utusan Malaysia semalam yang turut dipetik agensi berita lain, mencetuskan kritikan di media sosial yang menggesa kementerian agar tidak memfokuskan kepada perkara yang remeh. – 16 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen