MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi semalam mengumumkan senarai baru 225 khazanah warisan negara, daripada busana dan kraf, permainan dan makanan tradisional sampailah kepada orang hidup dan bangunan.
Daripada senarai panjang itu ada 149 lagu gubahan seniman agung P Ramlee – lagu-lagu yang sebahagian besarnya ada dalam filem-filem lakonan atau arahannya di Singapura dan kemudian di Kuala Lumpur.
Tetapi macam mana boleh terselit sebuah lagu bukan gubahan P Ramlee?
Pada senarai di mukasurat 13, No. 104 tercatat lagu Keronchong Kemayuran.
Bila harinya P Ramlee membuat lagu ini? Bolehkah Jabatan Warisan Negara atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan menunjukkan bukti-bukti yang jelas dan sahih bahawa lagu itu ciptaan P Ramlee?
Atau bolehkah menteri mempertahankan perisytiharan yang beliau buat semalam mengikut peruntukan Akta Warisan Negara itu?
Kalau boleh, kita ucap tahniah. Kita wajib bangga dan gembira.

Indonesia juga tentu akan berterima kasih kepada Malaysia. Misteri seni muzik nusantara yang tidak dapat diselesaikan sejak berpuluh-puluh tahun akhirnya pecah – selepas Barisan Nasional tidak lagi jadi kerajaan di Putrajaya. Pilihan raya 9 Mei memang betul-betul sejarah.
Yang banyak orang tahu – kecuali Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan agaknya – Keroncong Kemayoran ini lagu Indonesia. Orkes di Istana Budaya, agensi yang juga di bawah kementerian pun tentu tahu lagu itu asli Indonesia.
Tidak ada tetapi, ini memang asli dari Indonesia.
Sehingga hari ini, tidak jelas siapa penciptanya. Judul lagu itu Keroncong Kemayoran merujuk pada tempat seni keroncong itu berkembang. Ada sejarahnya, dan sejarah itu panjang.
Tulisan ini bukan mahu membentangkan sejarah keroncong tetapi mahu mempertanyakan kelancangan pengurus seni dan budaya Malaysia di Putrajaya sehingga berbuat cabul dan memalukan.
Bagaimana cara kerja dan proses mereka sehingga sebuah lagu yang bukan ciptaan P Ramlee disenaraikan sebagai karya seniman agung itu, lalu diangkat jadi warisan kebangsaan?
Apakah pertimbangan yang dipakai oleh menteri apabila membuat perisytiharan semalam, yang semua kriterianya digariskan dengan jelas pada Seksyen 67(2) akta berkenaan?
Majlis Warisan Kebangsaan buat apa sehingga ada tiris pada proses yang membawa kepada perisytiharan semalam?
Wajarkah sebuah lagu yang diketahui dunia sebagai lagu Indonesia, malah judulnya juga jelas merujuk nama sebuah tempat di Jakarta, jadi warisan Malaysia?
Betullah, lagu itu ada dalam filem Anakku Sazali terbitan 1956. Lagu itu juga ada dalam filem Gado-Gado terbitan Cathay Keris pada 1961, dinyanyikan oleh Wahid Satay. Irama sama juga pernah dipopular oleh dR Sam & Musafir pada dekad 1980-an dengan judul Oleh Oleh di Kota Raya.
Lagu itu cukup popular. Setiap kali ada acara persembahan silang budaya dua negara Malaysia dan Indonesia, lagu itu hampir pasti ada dipersembahkan.
Soalnya, wajarkah jadi warisan kebangsaan? Atas alasan apa?
Pengurus seni dan budaya yang duduk di Putrajaya wajib tahu tentang seni dan budaya Malaysia, termasuk yang ada dalam kalangan semua kaum di negara ini. Mesti tahu tentang sejarahnya, latarnya, dan hubung kaitnya dengan hal-hal lain.
Malah, perlu juga memahami seni dan budaya nusantara serta wilayah lain, yang mempengaruhi atau dipengaruhi oleh seni dan budaya tempatan – supaya mereka tahu apa yang harus dipupuk subur dan dipertahankan.
Kalau tidak, pengurus seni dan budaya itu menguruskan apa sebenarnya?
Tetapi begitulah ceritanya – semalam tertulis pada mukasurat 13 dalam senarai 17 halaman itu, “No. 104 Keronchong Kemayuran” dianggap sebagai karya P Ramlee dan menteri mengumumkannya sebagai warisan kebangsaan.
Perisytiharan sudah dibuat semalam. Hari ini mungkinlah kementerian dapat malu. Putrajaya terpalit juga malu itu. Tetapi esok lusa kita semua akan menadah caci maki – tentunya di media sosial – dituduh sebagai bangsa pencuri, Malingsia.
Semuanya kerana ada orang yang buta seni dan budaya, atau lalai buat kerja. – 18 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Siti Fatimah · Ulasan