SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu memutuskan untuk meneliti semua tawaran gelaran kepada wakil rakyat yang dipilih kerana tidak ingin mencontohi Barisan Nasional (BN) yang mengejar gelaran “Datuk”.
Sebaliknya, Lim yang juga menteri kewangan berkata mereka mahu menumpukan perhatian untuk berkhidmat kepada rakyat.
“DAP tidak mahu kita menjadi macam BN dulu dimana ada banyak yang kejar nak jadi Datuk.
“Inilah pendirian parti DAP dan ini adalah satu cabaran supaya budaya kurang sihat daripada BN tidak menyerap ataupun menyelinap masuk ke dalam DAP, iaitu keutamaan mestilah diberikan kepada rakyat.
“Sekiranya kita hendak mencari penghargaan, penghargaan harus datang daripada rakyat yang puas hati dengan perkhidmatan wakil rakyat dan bukanlah kita cuba untuk menaikkan diri dengan sedemikian,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perkara tersebut di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengumumkan wakil rakyat dan ahli majlis tempatan parti itu tidak boleh menerima gelaran kebesaran semasa berkhidmat.
Loke berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat CEC Isnin lalu, keputusan yang menegaskan kata sepakat yang dicapai sejak sedekad lalu.
“Berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh saudara Anthony Loke tentang keputusan parti DAP ialah saya rasa jelas bahawa CEC tidak puas hati dengan apa yang berlaku dan juga tidak puas hati dengan penjelasan yang mereka cuba berikan kerana apa yang telah diamalkan selama ini, saya rasa kadangkala kita tidak perlukannya (gelaran),” kata Lim.
Pada masa sama, Lim turut memberi contoh dirinya bahawa beliau tidak pernah mendapat gelaran sepanjang bersama DAP tetapi tetap terus berkhidmat untuk masyarakat.
“Saya tidak jadi Datuk tapi saya telah jadi pemimpin DAP selama ini dan itulah mesej yang kita nak sampaikan.
“Kalau kita nak jadi seorang ahli politik dan wakil rakyat yang berjaya, yang penting adalah kita mesti berikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Janganlah jadi macam pemimpin MCA dan sebagainya,” kata Lim. – 17 Oktober, 2018.
Komen