Terima anugerah tanpa rujuk pimpinan tidak hormati parti, kata pemimpin DAP


Setiausaha organisasi kebangsaan DAP Anthony Loke berkata tindakan menerima gelaran atau anugerah tanpa merujuk kepada pimpinan parti seolah-oleh tidak hormati pendirian parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2018

AHLI politik DAP yang menerima gelaran atau anugerah tanpa merujuk kepada pimpinan adalah seperti tidak menghormati parti, kata pemimpin Parlimen Anthony Loke Liew Fook hari ini. 

Beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada mesyuarat malam tadi membangkitkan semula “pendirian lama” bahawa wakil rakyat yang dipilih dan ahli majlis tempatan dari parti itu tidak boleh menerima gelaran dan anugerah ketika tempoh aktif perkhidmatan mereka.

Oleh itu, semua tawaran gelaran dan anugerah perlu dirujuk kepada CEC sebelum membuat keputusan untuk menerimanya pada masa akan datang. 

“Pemimpin yang menerima anugerah tanpa memaklumkan atau menunggu arahan daripada kepimpinan parti akan dilihat sebagai tidak menghormati parti,” kata Loke dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, salah seorang penerima anugerah baru-baru ini, ketua DAP Melaka They Kok Kiew, sudah dimaklumkan berhubung pendirian parti mengenai perkara itu pada Julai dan CEC tidak berpuas hati beliau tidak merujuk pimpinan berhubung anugerahnya.

“Pengerusi DAP Melaka telah dimaklumkan dan diberitahu secara jelas tentang kata sepakat yang dicapai oleh CEC sejak sedekad lalu pada Julai lepas dan CEC memutuskan untuk menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak dirujuk berhubung tawaran anugerah dan gelaran tersebut. 

“Pemimpin-pemimpin DAP Sabah yang menerima anugerah dan gelaran juga telah dimaklumkan mengenai pendirian parti. 

“Oleh itu, CEC ingin menegur pemimpin DAP yang menafikan dan mendakwa tidak tahu tentang pendirian parti sejak sedekad lalu. Pemimpin yang cuba memberikan alasan untuk menerima anugerah tanpa memaklumkan atau menunggu arahan daripada kepimpinan parti akan dilihat sebagai tidak menghormati parti,” katanya. 

Langkah untuk merujuk kepada CEC berhubung penerimaan gelaran dan anugerah sebelum ini didedahkan oleh bendahari DAP kebangsaan Ngeh Koo Ham. 

Loke yang juga setiausaha organisasi kebangsaan DAP berkata, teguran bertulis akan dikeluarkan kepada semua wakil rakyat dan ahli majlis untuk mengulangi pendirian parti. 

“Sehubungan dengan resolusi CEC ini, surat makluman akan dikeluarkan kepada semua wakil rakyat dan ahli majlis tempatan bagi mengulangi semula pendirian parti DAP tentang penerimaan anugerah dan gelaran semasa tempoh perkhidmatan politik. 

“Apa jua tawaran anugerah dan gelaran harus dirujuk kepada kepimpinan pusat DAP.

“Pemimpin-pemimpin DAP terlibat dalam politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya untuk mengejar kemasyhuran atau gelaran atau kedudukan. 

“DAP mengiktiraf pentingnya anugerah dan gelaran sebagai cara untuk menghargai sumbangan mereka yang menjadi tokoh ulung dalam masyarakat dan oleh itu menasihati wakil rakyat dan ahli majlis tempatan untuk menerima penghormatan ini selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, mungkin selepas mereka telah menyumbang kepada masyarakat pada umumnya,” katanya. 

Pemimpin DAP lain yang menerima anugerah adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Wong Fort Pin, ketua DAP Sabah Stephen Wong, naib pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan Adun Sri Tanjung Jimmy Wong. – 16 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen