DAP tetap peraturan baru gelaran 'Datuk' untuk ahli politiknya


Timbalan bendahari DAP Ngeh Koo Ham berkata peraturan baharu parti itu ditetapkan pada mesyuarat CEC malam tadi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2018

JAWATANKUASA Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan meneliti semua tawaran gelaran kepada wakil rakyat yang dipilih sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada untuk menerima atau sebaliknya. 

Malaysiakini melaporkan, timbalan bendahari DAP Ngeh Koo Ham berkata amalan baharu ini ditetapkan oleh CEC pada mesyuaratnya malam tadi. 

Wakil rakyat yang ditawarkan gelaran “Datuk” dan gelaran lain perlu merujuk kepada CEC, bagi memastikan dasar parti yang ahlinya hanya boleh menerima anugerah selepas melaksanakan perkhidmatan awam. 

“Parti secara rasminya (membuat) keputusan,” beliau dipetik sebagai berkata mengenai mesyuarat CEC malam tadi. 

“Sekiranya ada keadaan memerlukan, apabila sesiapa sahaja ditawarkan anugerah, mereka perlu merujuk kepada CEC untuk membuat keputusan.”

Katanya, ia juga tertakluk kepada mereka yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli majlis tempatan. 

Ngeh, memiliki gelaran “Datuk” yang dianugerahkan kepadanya pada 2008, berkata pihak lain dalam parti perlu contohi dirinya yang merujuk kepada CEC. 

Ngeh sebelum ini pernah ditegur mendiang pengerusi DAP, Karpal Singh kerana menerima gelaran itu. 

Ngeh, yang kini merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, dan Ahli Parlimen Beruas berkata, sesiapa yang sudah diberikan anugerah perlu dibenarkan untuk menyimpannya kerana keputusan semua tawaran gelaran untuk dirujuk kepada CEC terlebih dahulu hanya diputuskan malam tadi. 

Pertikaian berhubung gelaran timbul baru-baru ini selepas beberapa ahli politik DAP ditawarkan anugerah berkenaan seperti ketua DAP Melaka They Kok Kiew, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Wong Fort Pin, ketua DAP Sabah Stephen Wong, naib pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan Adun Sri Tanjung Jimmy Wong. – 16 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen