Umno kemuka bukti kukuh untuk dapatkan semula RM116.7 juta


Yasmin Ramlan

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bukti mengenai hak milik wang tunai yang dirampas pada Mei lalu akan diserahkan kepada mahkamah kelak semasa sidang media di lobi Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Oktober, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti Melayu itu akan mengemukakan bukti kukuh untuk mendapatkan kembali wang yang dirampas di Pavilion Residences pada Mei lalu.

Ketua pembangkang itu berkata, setakat ini pihaknya akan menyerahkan proses undang-undang kepada mahkamah untuk menuntut wang tunai RM116.7 juta dalam 26 mata wang yang didakwa milik parti.

“Kita menghormati pandangan oleh pihak Polis Diraja Malaysia. Namun, kita sudah mengemukakan tindakan perundangan untuk menuntut tuntutan yang dirampas dan kita akan mengikuti proses perundangan berikutnya iaitu termasuk membawa kes ini ke mahkamah dan biar mahkamah memutuskannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Kita akan kemukakan (bukti) di mahkamah nanti apabila tiba waktunya,” katanya.

Pada 24 September lalu, plaintif Abd Rauf Yusoh memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di  Kuala Lumpur menuntut wang itu yang didakwa milik Umno.

Dalam penyataan tuntutan, beliau selaku pegawai awam Umno memohon deklarasi yang penggeledahan dan penyitaan pada 17 Mei lalu salah di sisi undang-undang.

Dokumen itu turut menamakan beberapa pegawai atasan Bukit Aman termasuk Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Najib Razak juga mendakwa wang tunai itu milik Umno dan beliau mahu ia dikembalikan.

Kes pengurusan ditetap pada 1 November ini. – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen