Najib gesa pihak berkuasa pulangkan duit Umno yang dirampas


Bekas perdana menteri Najib Razak berkata pihak berkuasa perlu kembalikan wang yang dirampas semasa serbuan terhadap premis yang dikaitkan dengannya jika tiada pendakwaan dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

NAJIB Razak mahu pihak berkuasa mengembalikan wang yang dirampas semasa serbuan terhadap premis yang dikaitkan dengannya jika tiada sebarang rancangan untuk pendakwaan.

Mengatakan wang itu milik Umno, dan jumlah kecil mata wang asing milik keluarganya, bekas perdana menteri itu berkata ia sudah tiga bulan sejak serbuan, dan mengikut undang-undang, jika tiada tindakan akan diambil pada masa ini, wang mesti dikembalikan.

“Walaupun terdapat banyak percubaan dan perbincangan dengan polis mengenai wang itu, mereka masih tidak mengembalikan wang itu kepada parti,” katanya dalam satu catatan Facebook hari ini.

Dua minggu selepas jatuhnya Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14, polis menyerbu tiga rumah mewah yang didakwa dikaitkan dengan Najib dan membawa 284 kotak berisi beg tangan berjenama, 72 beg beg penuh dengan jam tangan, barang kemas, dan wang tunai.

Di salah satu kediaman, terdapat wang bernilai RM120 juta dalam pelbagai mata wang ditemui dan dirampas.

Polis mengesahkan serbuan itu berkaitan dengan penyiasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Polis juga mengesahkan wang tunai dan barangan yang disita dari enam kediaman berjumlah antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Umno berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut semula wang tunai RM116.7 juta yang dirampas oleh polis semasa serbuan di premis yang dikaitkan dengan bekas presidennya.

Najib berkata dalam posting di Facebook peribadinya yang walaupun beliau sudah bercakap tentang sumber wang itu dalam wawancara media sebelum ini, beliau ingin mengulas lanjut hari ini berikutan kegagalan polis mengembalikan wang itu kepada Umno.

Beliau menambah akan memberi penjelasan mengenai barang kemas dan beg tangan yang dirampas dalam serbuan itu secara terperinci tidak lama lagi.

Menyentuh sejumlah besar wang tunai yang ditemui dalam premis berkenaan, Najib berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menyedari parti mengumpul dana pilihan raya kerana “beliau juga melakukan begini semasa beliau presiden Umno dan perdana menteri”.

Beliau berkata dana pilihan raya itu disimpan di pejabatnya di Putrajaya.

“Berikutan kekalahan yang tidak dijangka BN, wang itu kemudian dipindahkan dari pejabat saya ke sebuah apartmen di Pavillion sebagai langkah sementara.

“Sebelum kita sempat membuat keputusan bagaimana untuk mengendalikan wang tunai ini dan sementera menunggu keputusan pemilihan parti siapa akan mengambil alih jawatan presiden, pangsapuri Kuala Lumpur ini diserbu oleh PDRM dan wang tunai ini telah disita”. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen