Lagi pertuduhan terhadap Najib, kata SPRM


Alfian Z.M. Tahir

NAJIB Razak kini disoal siasat berhubung kes baharu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata sumber dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, bekas perdana menteri itu dijangka berdepan lebih banyak pertuduhan berikutan perkembangan terkini ini.

“Ini kes baharu dan kami jangka akan memfailkan pertuduhan baharu terhadap beliau,” menurut sumber itu tanpa mengulas lanjut.

“Siasatan hampir siap.”

Najib ketika ini dihadapkan dengan 32 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Awal hari ini Najib dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat pada jam 10 pagi. Proses tersebut masih lagi berjalan.

Bekas presiden Umno itu kini disiasat bagi pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Selain disiasat SPRM, beliau turut disiasat polis. Najib disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001. – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen