ANWAR Ibrahim hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya kecil yang berlangsung Sabtu lalu.
Bakal presiden PKR itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson pukul 10.04 pagi di hadapan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.
Bagi Anwar, 71, ini adalah kali kedua beliau mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen selepas keluar penjara. Namun bagi politik Malaysia, ini adalah kali pertama perdana menteri dan bakal perdana menteri yang sudah dinamakan berkongsi ruang yang sama di Dewan Rakyat.
Pakatan Harapan sepakat menamakan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir Mohamad dalam muafakat yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Majlis angkat sumpah Anwar pagi ini turut disaksikan oleh Dr Mahathir yang hadir ke Dewan Rakyat untuk menjawab soalan pertama pada sesi soal jawab yang menyusul sejurus selepas itu.
Anwar dibebaskan dari penjara pada 16 Mei lalu selepas mendapat pengampunan diraja tidak sampai seminggu setelah Pakatan menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU14.
Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket tiba di Parlimen pukul 9.40 pagi.
Sabtu lalu, Anwar menang pilihan raya kecil Port Dickson mengalahkan enam calon lain dengan majoriti 23,560 undi, memperbaiki majoriti 17,710 yang diraih bekas wakil rakyat kerusi itu, Danyal Balagopal Abdullah pada PRU14. – 15 Oktober, 2018
Komen