KESATUAN Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Malaysia menuntut pengurusan syarikat menubuhkan segera jawatankuasa pemegang amanah untuk memantau urusan pembayaran pampasan skim pemberhentian sukarela (VSS) yang berkuat kuasa akhir November ini.
Jurucakap NUJ-Utusan berkata penubuhan jawatankuasa itu, yang dicadangkan oleh pengurusan Kumpulan Utusan Melayu Berhad, setakat ini masih di peringkat “cakap-cakap”.
“Banyak kakitangan yakin untuk mengambil VSS kerana pihak pengurusan beritahu akan tubuh jawatankuasa itu.
“Tetapi, setakat ini tiada apa-apa lagi. Kita tuntut pengurusan merealisasikan (penubuhan) jawatankuasa pemegang amanah,” kata jurucakap NUJ-Utusan kepada The Malaysian Insight.
Menurut jurucakap NUJ-Utusan, pengurusan mencadangkan jawatankuasa itu dianggotai pihak luar seperti Amanah Raya Berhad serta wakil-wakil kesatuan sekerja Utusan.
Jika jawatankuasa itu tidak ditubuhkan sehingga 30 November ini, NUJ-Utusan tidak teragak-agak akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia, katanya.
Tawaran VSS yang ditutup Rabu lalu akan berkuat kuasa pada 30 November ini.
Mengikut tawaran itu, pampasan pemberhentian tersebut akan dibayar secara ansuran selama 12 bulan.
Jurucakap itu memberitahu, NUJ-Utusan difahamkan pampasan kepada lebih kurang 800 kakitangan itu akan melibatkan kos kira-kira RM80 juta, yang akan dikumpul dariada hasil penjualan aset syarikat.
“Aset yang mana kita tidak tahu, tapi kami difahamkan bangunan Ibu Pejabat Utusan Melayu Berhad di Kuala Lumpur dan dua kilang di Bangi (Selangor) dan di Seberang Jaya (Pulau Pinang) tidak akan dijual,” jelas jurucakap itu.
Pada 21 September lepas, syarikat media milik Umno itu menawarkan VSS untuk mengurangkan separuh daripada 1,500 kakitangannya.
Ketika itu pihak pengurusan menawarkan dua formula pakej pampasan iaitu sebulan gaji digandakan dengan jumlah tahun sudah berkhidmat atau baki tahun sebelum pencen, dan pengurusan akan memilih kadar yang lebih rendah.
Selepas pelbagai desakan dan campur tangan Kementerian Sumber Manusia, Utusan bersetuju menaikkan kadar bayaran pampasan kepada kakitangannya yang memohon VSS.
Mereka yang menerima gaji di bawah RM5,000 kini ditawarkan pampasan satu setengah bulan kali tahun berkhidmat atau baki tahun akan berkhidmat.
Bagi yang bergaji antara RM5,000 hingga RM10,000 ditawarkan pampasan satu seperempat bulan manakala yang bergaji lebih RM10,000 pampasan gaji sebulan dengan formula yang sama.
Bagaimanapun semua terma tawaran lain kekal, termasuklah kaedah bayaran pampasan secara beransur-ansur selama 12 bulan, yang sebelum ini ditegur oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar.
Tawaran baharu itu diumumkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir, dua hari selepas pengurusan syarikat mengadakan perbincangan dengan Mahfuz.
Utusan sebelum ini lewat membayar gaji kakitangannya bagi bulan Ogos dan September hingga kakitangannya sedia melancarkan piket.
Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.
Syarikat itu, yang dikuasai oleh Umno dengan pegangan saham 49.77%, menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011. Kerugian terkumpulnya sehingga ini berjumlah RM 71.4 juta setakat Mac lepas. – 15 Oktober, 2018
Komen