Yang Berkhidmat


Izmil Amri

Lim Guan Eng mempersoalkan segelintir pemimpin kerajaan perlu terima pada tahun pertama mentadbir kerajaan sedangkan mereka wajar menunjukkan prestasi berkhidmat untuk rakyat terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

DI United Kingdom, Baginda Ratu atau mana-mana monarki yang menguasai kerajaan, tidak mencemar duli ke ruang House of Commons. Di Malaysia, House of Commons ini samalah kedudukannya seperti Dewan Rakyat.

Justeru, Baginda Ratu akan menyampaikan ucapan pada pembukaan rasmi Parlimen UK di takhtanya yang berada di bahagian House of Lords. Lebih kurang seperti Dewan Negara.

Dua dewan ini terletak saling bertentangan antara satu dengan yang lain. Dari takhta Ratu di House of Lords, baginda boleh melihat terus ke kerusi Speaker di dewan berhadapan. Meski bertentang, Baginda Ratu tidak sama sekali akan pernah masuk ke ruang Commons itu.

Justeru pada setiap kali pembukaan rasmi Parlimen, ada ritual panjang yang perlu dijalani sebelum wakil-wakil rakyat di bahagian Commons masuk mengadap dan mendengar titah diraja.

Sang Ratu akan mengisyaratkan kepada seorang pegawai yang dipanggil Black Rod, sesuai tongkat hitam yang dipegangnya, untuk pergi memanggil wakil-wakil rakyat di dewan yang satu lagi.

Si Black Rod ini akan kemudiannya bergerak maju menuju pintu besar House of Commons. Pintu itu kemudiannya akan dihempas ke muka encik Black Rod ini – mengisyaratkan bahawa dia tidak dialu-alukan dalam urusan rakyat di Commons.

Black Rod akan mengetuk pintu Commons sebanyak tiga kali, sebelum dibenarkan masuk. Lekuk ketukan zaman-berzaman boleh dilihat sehingga ke hari ini.

Kemudian barulah Speaker dan ahli-ahli Yang Berhormat akan berarak merentas lobi parlimen, menuju House of Lords bagi mendengar amanat dan titah Baginda Ratu.

Akar kepada ritual ini, dan larangan terhadap monarki daripada masuk  ke ruang Commons, bermula pada tahun 1642.

Perang Saudara Inggeris

Pada tahun itu, Raja Charles I telah bertindak masuk secara paksa ke ruang Commons untuk menahan lima ahli Yang Berhormat atas dakwaan menderhaka. Bersama tentera, baginda masuk dan duduk di kerusi speaker, yang sebelum itu disuruhnya duduk di bawah.

Apabila ditanya kalau sang Speaker ada melihat lima orang wakil rakyat itu, William Lenthal yang tadi memberikan tempat duduknya kepada sang Raja menjawab: “Ampun Tuanku, patik tiada mata untuk melihat mahupun lidah untuk berkata-kata di dewan ini selain apa yang dikehendaki oleh Dewan Yang Mulia ini, tempat patik berkhidmat.”

Lenthal pastinya tidak cakap Melayu pada 1642, tetapi lebih kurang begitulah terjemahan jawab balasnya.

Pencerobohan Raja Charles pada hari itu disambut dengan kemarahan. Ahli-ahli Yang Berhormat berhujah bahawa mereka tidak perlu taat kepada perintah Raja kerana mereka berkhidmat untuk rakyat jelata.

Kejadian tersebut menjadi titik sejarah yang meletakkan kehendak rakyat melampaui kehendak pemerintah. Tindakan Charles itu mencetuskan pertembungan antara rakyat dan raja, yang akhirnya membawa kepada perang saudara antara para ‘royalis’ yang memihak dan diketuai monarki, dengan para ‘puritan’ yang diketuai Oliver Cromwell.

Perang Saudara Inggeris berlanjutan selama sepuluh tahun, dan berakhir dengan kemenangan Cromwell. Raja Charles yang tewas setelah menentang rakyatnya, dibicarakan dan akhirnya dihukum mati.

Replika waran hukum pancung ke atas Charles masih dipamerkan di bilik khas tempat monarki Inggeris memakai jubah kerajaan sebelum masuk merasmikan sesi Parlimen. Tiada lain, ia bertujuan memberi peringatan tentang akibat yang menanti raja dan ratu yang berani campur tangan dalam urusan Parlimen.

Kematian Charles yang membawa kepada pembatalan sistem monarki dan takdir England menjadi sebuah republik tidak kekal lama. Selepas kematian Cromwell, Charles II yang hidup dalam buangan dipanggil pulang untuk menaiki takhta pada 1660. Pun begitu, tidak ada monarki Inggeris yang kembali menjejakkan kaki ke dalam ruang House of Commons, sehingga hari ini.

Di sini kita temukan pemisahan antara kuasa dan kehendak monarki feudal, dengan kuasa dan kehendak rakyat jelata yang tidak bergelar. Meski berada di bawah payung mahkota, kehendak dan iradat rakyat pulau kecil ini tidak boleh dipinggirkan bagi memberi laluan kepada kehendak kaum feudal.

Yang feudal dan yang merakyat

Di Malaysia, sultan, raja dan gabenor tidak lagi memainkan peranan langsung dalam kerajaan. Sistem raja berperlembagaan menggariskan tugas-tugas monarki setakat beberapa peranan rasmi sahaja, tanpa kuasa membuat keputusan eksekutif. Sama seperti di England, yang mewariskan sistem ini kepada kita. Kaum feudal tidak diberi kuasa mentadbir.

Pun begitu, seperti juga England, feudalisme masih menitis ke akar rakyat kebanyakan dalam bentuk pingat dan gelar. Dengan pingat dan gelar ini, rakyat biasa diajarkan supaya hormat dan memberi sanjungan berbeza serta lebih istimewa berbanding mereka yang tiada punya pingat dan gelar.

Dalam kalangan orang Melayu, pingat dan gelar membawa erti yang besar. Ia menandakan seseorang telah bergerak maju daripada kelas asalnya, meninggalkan kelas kebanyakan dan menyertai kelas feudal. Ia menandakan bahawa seseorang telah banyak berjasa, telah berkorban bertahun lama dan telah melakukan sesuatu yang selayaknya untuk diberikan gelaran. Seperti Datuk Laksamana Hang Tuah.

Sebaliknya hari ini, setelah Sultan Melaka hanya wujud sebagai watak media sosial, ramai pula yang tidak segan menerima gelar dan anugerah feudal meski baru lima bulan bekerja menganggotai kerajaan.

“Kalau dipilih oleh rakyat menjadi Yang Berhormat, itu sudah cukup. Bila saya sebut sebegini, perkara ini mungkin akan menyinggung perasaan ahli-ahli dan pemimpin tetapi saya rasa perkara ini juga akan disebut kalau Karpal Singh masih ada,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, seperti dilaporkan media semalam.

“Saya tidak mahu apa yang saya sebutkan ini sebagai tanda tidak hormat kepada mana-mana kerajaan negeri (yang mengurniakan darjah kebesaran) tetapi kenapa pemimpin kita perlu terima pada tahun pertama (mentadbir), tunjukkan prestasi berkhidmat untuk rakyat terlebih dahulu.

“Kalau ini menyinggung mana-mana pihak di luar parti saya minta maaf kerana saya rasa ini amat penting kerana DAP tidak pernah kejar jawatan,” ujarnya lagi.

Tegas dan santun bunyinya, seperti jawapan Speaker House of Commons kepada Raja Charles I – memisahkan antara yang feudal dan yang merakyat.

Mungkin ahli politik Malaysia perlu terus bertanya kepada diri mereka sendiri: untuk apakah mereka bekerja, dan demi apakah mereka berkhidmat, serta sampai bila langit perlu ditongkat dengan gelar dan pangkat? – 15 Oktober, 2018.

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen