Tak kisah ada kem tapi jangan lupa perjuangan parti, kata ahli PKR


Zaim Ibrahim

Hari ini, 249,850 ahli PKR Selangor mula memilih kepimpinan parti. Pemilihan di sembilan daripada 22 cabang sedang berlangsung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2018.

AKAR umbi PKR tidak menganggap wujud masalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden antara penyandang Azmin Ali dan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Malah mereka menyifatkan, kewujudan dua kem dalam pemilihan parti kali ini boleh membawa persaingan sihat.

Bagi Anuar Yaacob,66, sesiapa yang dipilih oleh ahli parti tidak penting asalkan tidak lari daripada dasar dan prinsip parti.

“Dalam pemilihan ada kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu berebut (jawatan). Yang penting, jangan lari daripada dasar parti,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Pemilihan PKR cabang Kelana Jaya hari ini.

Rafizi dalam usaha mencabar Azmin mengumumkan penubuhan Kumpulan Reformasi 2.0 yang terdiri daripada lebih 20 pemimpin, antaranya calon ketua wanita PKR Ahli Parlimen Kuantan Fuziah dan Ahli Parlimen Johor Baru Akmal Nasir yang bertanding jawatan ketua pemuda PKR.

Setakat ini selepas pemilihan di enam negeri, Rafizi berjaya menguasai Pahang, Kelantan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan manakala Azmin hanya menang di Pulau Pinang dan Johor.

Anuar turut berharap, pimpinan parti yang akan dipilih nanti tidak akan mengabaikan keperluan rakyat kerana parti politik wujud kerana rakyat, apatah lagi kini PKR sudah jadi parti pemerintah.

Bagi Annuar Yaacob, siapa yang menang tidak penting asalkan perjuangan parti tidak dilupakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2018.

Abdul Wahid Alang Ismail,73, yang sudah bersama parti reformasi itu sejak 1998 lagi, pula beranggapan kewujudan dua parti itu tidak akan melemahkan parti.

“Kewujudan kem baik untuk parti kerana ada persaingan yang sihat. Semua calon tunjuk kelebihan masing-masing,” jelasnya.

Beliau turut yakin persaingan dalam parti hanya wujud dalam pemilihan dan parti akan tetap bersama selepas pemilihan parti yang sedang diadakan.

Seorang lagi ahli parti, Muhd Hanafiah Mat Amin, 64, pula mengharapkan, kedua-dua kem tersebut tidak lupa untuk memperkasakan parti.

“Siapa menang atau kalah itu tidak kisah, kerana itu adalah pertandingan yang sihat. Yang penting tiada perpecahan (dalam parti). Cukuplah dalam pemilihan sahaja,” katanya.

Hari ini, 249,850 ahli PKR Selangor mula memilih kepimpinan parti. Pemilihan di sembilan daripada 22 cabang sedang berlangsung.

Sembilan cabang itu adalah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang yang mempunyai lebih 108,000 ahli layak mengundi.

Sabak Bernam mempunyai 4,983 ahli, Sungai Besar (6,243), Hulu Selangor (19,913), Serdang (8,597), Kelana Jaya (10,595), Subang (12,051), Kapar (19,578), Kota Raja (15,640) dan Sepang (11,257). – 14 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen