HUKUMAN sebat di bawah undang-undang syariah perlu digantung sementara sebelum ia dimansuhkan kerana ia menganiaya kaum wanita, kata beberapa pertubuhan wanita.
Merujuk kepada beberapa keputusan mahkamah syariah di Terengganu baru-baru ini, mereka berpendapat hukuman itu seolah-olah hanya dikenakan ke atas pesalah wanita.
Mereka mempersoalkan kenapa lelaki yang terlibat dalam kes jenayah seksual syariah itu tidak dikenakan hukuman yang sama.
Hukuman sebat itu perlu digantung secepat mungkin kerana ia juga mencabul hak asasi manusia, kata Sisters in Islam (SIS).
“SIS sangat bimbang ini mencerminkan pentadbiran ‘keadilan’ yang berpilih dan diskriminasi, yang menjadikan wanita sebagai sasaran secara sistematik dan menganggap mereka sebagai punca maksiat,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Tindakan itu juga bertentangan dengan konsep rahmatan lil alamin yang dilaungkan menteri agama Mujahid Yusof Rawa.
“Tambahan pula, tiada tanda bahawa lelaki yang terlibat dalam kes-kes tersebut dikenakan tuduhan dalam serbuan khalwat ini.
“SIS mengulangi seruan kami supaya hukuman sebat ditangguhkan kerana hukuman sebat dalam apa cara jua sekalipun adalah satu pencabulan hak asasi manusia,” tambah kenyataan itu.
Minggu ini, seorang janda 45 tahun dijatuhkan hukuman empat sebatan dan diperintah ditempatkan di pusat pemulihan akhlak selama enam bulan selepas mengaku salah atas tuduhan melacurkan diri di Kuala Terengganu, Terengganu.
Wanita yang pernah berkahwin dua kali tetapi tidak mempunyai anak itu mengaku terpaksa melacurkan diri kerana perlu menyara hidup sejak hidup sebatang kara selepas berpisah dengan suaminya.

Kes itu bagaimanapun bukan yang pertama di Terengganu. Mahkamah sama pada 27 September lalu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan ke atas seorang ibu tunggal yang mengaku jadi pelacur untuk menyara hidup bersama seorang anak perempuannya yang berumur tujuh tahun, yang dijaga oleh kakaknya di Klang, Selangor.
Kes tersebut mendapat simpati banyak pihak sehingga sekumpulan wartawan mengumpulkan sumbangan untuk ibu tunggal tersebut. Ada juga pihak yang mempersoalkan tindakan penguatkuasa terhadap bekas suami pelaku yang tidak menyediakan nafkah kepada anaknya serta lelaki yang melanggan wanita tersebut.
Kedua-dua kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.
Pandangan SIS itu dikongsi Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) yang hairan bagaimana lelaki yang terlibat dalam kesalahan itu terlepas daripada sebarang hukuman.
“Tiada apa-apa laporan tentang apa yang berlaku kepada lelaki terlibat. Pihak berkuasa seolah-olah menyasarkan kaum wanita dalam penangkapan dan pertuduhan kes sebegini.
“Pihak berkuasa tidak harus menjatuhkan hukuman sebat, lebih-lebih lagi terhadap kaum wanita kerana hukuman sebat adalah hukuman yang ganas, tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” kata pegawai komunikasinya, Tan Heang Lee kepada The Malaysian Insight.
“Kerajaan seharusnya memansuhkan hukuman sebat selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
“Kerajaan baru sahaja mengumumkan bahawa hukuman mati akan dimansuhkan dan kami berharap pembaharuan undang-undang akan turut meliputi pemansuhan hukuman sebat,” kata Tan.
Sementara itu, sebuah badan pelajar wanita mencadangkan agar kerajaan negeri Terengganu mengkaji program kebajikan untuk ibu tunggal serta wanita yang memerlukan perlindungan.
“Apa yang lebih mengecewakannya ialah kurangnya komitmen kepada keadilan dalam kalangan rakyat Terengganu sendiri yang membenarkan dan mengalu-alukan hukuman mahkamah syariah itu.
“Kalau mereka percaya tindakan itu betul dari segi moral, mereka juga patut desak lelaki yang terlibat dikenakan hukuman dan bukan hanya wanita,” kata setiausaha agung Challenger, Jean Vaneisha Ravindran kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga percaya pihak berkuasa sepatutnya lebih bersimpati kepada wanita terlibat yang nampaknya bergelut dengan hidup. Masyarakat juga perlu membetulkan stigma terhadap ibu tunggal dan bukannya memandang mereka dengan hina, katanya.
“Hukuman syariah perlu diteliti semula dan pemansuhan hukuman sebat adalah satu langkah ke hadapan,” tambahnya.
Sementara itu, peguam syarie Akberdin Abdul Kader berpendapat hukuman sebatan dalam kes tersebut lebih berbentuk pencegahan.
Bagaimanapun, jelasnya, kuasa menuduh seseorang atas kes jenayah terletak di bawah bidang kuasa ketua pendakwa syarie negeri yang perlu mengambil kira dan menimbang pelbagai faktor dengan adil termasuk motif tertuduh.
“Sepatutnya, ikut enakmen kesalahan jenayah syariah negeri Terengganu kedua-duanya (lelaki dan perempuan) kena dituduh jika kedua-duanya muslim. Saya difahamkan lelaki itu muslim dan akan dituduh kelak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, Akberdin berkata pendidikan agama sewajarnya diberikan kepada pesalah dan jabatan kebajikan masyarakat perlu memainkan peranan mencegah kejadian sama berulang.
Ini termasuk program membasmi kemiskinan dalam kalangan ibu tunggal bagi mengelak mereka terjebak dalam perkara yang tidak diingini, katanya.
Diminta mengulas pandangan pelbagai pihak yang mahu hukuman sebat dimansuhkan sama seperti hasrat kerajaan terhadap hukuman gantung sampai mati, beliau berkata ia sukar untuk disokong kerana ia dibawah perundangan jenayah Islam.
__full.jpg)
“Ini adalah bawah kategori hukuman ta’azir undang-undang jenayah Islam. Bererti dalam hukum syarak, hukuman sebat memang wujud macam dalam kes zina melibatkan pasangan muhsan (belum kahwin), hukuman sebat memang wujud.
“Jadi atas dasar ini, sukar untuk kita menyokong pembubaran hukuman sebat dalam sistem perundangan jenayah Islam,” katanya.
Hukuman sebat syariah jadi perhatian selepas dua wanita disebat di bilik Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 3 September lalu selepas mengaku salah atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis.
Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah yang pertama dilakukan di negeri itu, disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.
Hukuman itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya sebagai tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam. – 15 Oktober, 2018
Komen