Lagi wanita dihukum sebat kerana melacur di Terengganu


SEORANG lagi ibu tunggal dijatuhkan hukuman sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di Kuala Terengganu, selepas mengaku salah terhadap tuduhan melacurkan diri, lapor Bernama.

Wanita itu dihukum empat kali sebatan oleh Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail.

Mahkamah turut mengarahkan wanita 45 tahun itu menjalani pemulihan akhlak di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, selama enam bulan bermula hari ini. Kosnya di pusat perlindungan itu ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu.

“Kamu telah berusia 45 tahun. Tidak sepatutnya kamu terlibat dengan kesalahan begini. Kamu sepatutnya telah matang dan boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang halal, mana yang haram dan berdosa,” kata hakim itu, seperti dipetik Bernama.

Hukuman empat sebatan itu akan dijalankan di Penjara Wanita Kajang selepas tempoh rayuan 14 hari tamat.

Menurut Bernama, sesama prosiding mahkamah yang lalu, wanita itu mengaku kepada mahkamah beliau datang ke Kuala Terengganu untuk memberikan khidmat urut dan seks.

Wanita itu pernah berkahwin dua kali tetapi tidak mempunyai anak.

Beliau didakwa melakukan kesalahan persediaan untuk melacurkan diri di sebuah hotel bersama seorang lelaki yang dipercayai pelanggannya pada kira-kira 11.45 malam, 19 September lalu.

Beliau didakwa mengikut seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. Laporan Bernama itu tidak menyebut tindakan yang diambil terhadap lelaki berkenaan.

Semasa rayuan hukuman, peguam syarie, Fazru Anuar Yusof, yang mewakili wanta itu memohon hukuman diringankan kerana tertuduh bagaikan sebatang kara sejak berpisah dengan suaminya setahun lalu dan perlu menyara hidupnya sendiri.

Mahkamah sama pada 27 September lalu menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan enam sebatan ke atas seorang ibu tunggal yang mengaku jadi pelacur untuk menyara hidup bersama seorang anak perempuannya yang berumur tujuh tahun.

Pada 3 September, dua wanita disebat di bilik Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu di hadapan Kamalruazmi selepas mengaku salah atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis. – 10 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen