DRAMA Melayu di televisyen yang didakwa memaparkan elemen negatif bukan punca pemikiran orang Melayu tidak boleh berubah jadi positif, kata penerbit dan pengarah filem Yusof Haslam.
Katanya, masyarakat kini sudah matang dan boleh menilai penceritaan drama yang ada di televisyen.
“Bagi saya tidak logik (kenyataan itu) kerana zaman hari ini orang boleh fikir. Dalam drama ada watak hitam dan putih.
“Kalau pengaruh buruk tidak perlu tunggu drama. Dalam internet ada pelbagai benda termasuk bahan lucah dan keganasan,” kata pengarah siri drama Gerak Khas itu ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Firdaus Abdullah bahawa drama televisyen mempunyai “50% barangkali 80%” elemen negatif yang menyebabkan orang Melayu sukar ada fikiran positif.
Yusof, yang juga pengarah urusan syarikat penerbitan filem Skop Productions, berkata drama televisyen tidak harus dijadikan kambing hitam sebaliknya kerajaan juga ada kuasa untuk mengawal pengaruh internet yang lebih buruk, “yang hanya boleh dicapai di hujung jari”.
“Jangan tuding drama Melayu. Hanya orang industri tahu. Kita pejuang industri juga ada tanggungjawab sosial. Dalam cerita drama kalau tidak ada konflik itu bukan drama,” katanya.
“Kalau dilihat anak-anak muda bukan semuanya tengok drama. Elemen negatif boleh didapati daripada handphone. Kalau mahu kawal (pengaruh buruk), kerajaan perlu kawal melalui internet,” kata penerbit filem KL Gangster dan Munafik itu.
Semasa bercakap di wacana Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos dan Pathos di Universiti Kebangsaan Malaysia kelmarin, Firdaus juga mengaku pernah mendengar pengakuan penerbit dan penulis skrip drama televisyen bahawa drama yang mereka terbitkan adalah atas dasar keuntungan semata-mata.
Kenyataan Firdaus itu bagaimanapun disangkal Michael Ang yang berpendapat elemen negatif dalam filem dan drama adalah untuk memberi pengajaran.
“Kalau dia (Firdaus) bekas ketua pengarah DBP, saya hendak tanya, dia baca tidak karya novelis negara kita. Kebanyakan buku ada watak baik dan jahat.
“Adakah dia lihat drama itu sampai habis? Kita bikin drama pun kena ikut SOP, setiap benda buruk kena ada pengajaran,” kata pengarah filem Penanggal itu.
Ang menambah apa yang dipaparkan dalam drama televisyen atau filem sebenarnya adalah realiti yang ada dalam masyarakat sekarang.
“Ada cerita suami pukul bini, ada cerita mat rempit. Adakah benda ini tidak berlaku dalam masyarakat?”
Pengarah siri drama ‘Rahsia Hati Perempuan’ dan ‘Hero Seorang Cinderella’ itu juga menafikan beliau hanya mahu membuat untung semata-mata dalam berkarya.
“Kita buat drama, kena pandailah cari untung,” katanya.
Bagi penulis skrip Nazri M. Annuar @ Vovin, sudah menjadi lumrah stesen televisyen mahu memikirkan keuntungan.
Beliau mengakui ruang kreativiti untuk berkarya agak terhad dan terpulang pada penggiat seni untuk memartabatkan karya mereka.
“Biasalah TV perlu fikir untung dan tengok cerita boleh jual atau tidak dan orang mahu tengok ke tidak. Tidak semua mahu ambil risiko. Jadi ruang agak sempit.
“Kalau ada ruang mungkin hanya di RTM. TV lain kejar rating penonton dan itu normal,” kata penulis skrip filem ‘Karipap-karipap Cinta’.
Nazri juga melihat kenyataan Firdaus mengenai drama Melayu di televisyen itu tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Tiada statistik dan hanya cakap-cakap pakai belasah. Tidak semua begitu. Seorang dua orang yang mengaku tidak menggambarkan satu industri.
“Yang mungkin ada ruang ialah RTM. TV lain akan kejar viewership, itu biasa,” katanya – 12 Oktober, 2018
Komen