Drama TV punca Melayu gagal revolusi mental, kata Firdaus Abdullah


Yasmin Ramlan

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Firdaus Abdullah ketika bercakap pada wacana 'Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos dan Pathos' yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Oktober, 2018

DRAMA Melayu di televisyen yang sering memaparkan elemen negatif antara punca orang Melayu sukar mengubah sikap jadi lebih positif, kata bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Firdaus Abdullah.

Katanya, drama televisyen itu mempunyai “50% barangkali 80%” elemen negatif seperti kemarahan, kebencian, dan kutuk-mengutuk.

“Ini yang disiarkan setiap senja atau setiap malam oleh TV kita. Saya rasa ini mempunyai kesan terhadap sikap kita dan kesan negatif,” katanya pada wacana cendekiawan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi hari ni.

Siri wacana bertajuk Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos dan Pathos itu dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu universiti itu.

“Alangkah baiknya komunikasi TV tu untuk menyalurkan ajaran-ajaran yang lebih baik. Saya tak tahu sejauh manakah mana-mana pihak mengadakan pemantauan kepada program TV itu,” katanya.

Firdaus, yang juga bekas timbalan naib canselor Universiti Malaya, mendedahkan bagaimana beliau mendengar sendiri pengakuan penerbit dan penulis skrip drama televisyen bahawa drama yang mereka terbitkan adalah atas dasar keuntungan semata-mata.

“Bagi saya, ini adalah racun yang memerlukan penawar dalam revolusi mental… tetapi kita kalah,” katanya.

Menurut Firdaus, pemimpin Melayu selama ini gagal mengubah sikap atau mencetuskan revolusi mental dalam kalangan orang Melayu kerana yang dibuat hanyalah seruan tetapi tidak disusuli dengan tindakan yang serius.

Seruan itu pula bukan saja disuarakan oleh pemimpin politik tetapi cerdik pandai bangsa seperti Abdullah Munsyi, Zainal Abidin Ahmad atau Za’aba dan Aminuddin Baki.

“Usaha-usaha daripada pihak-pihak lain yang berkuasa dan juga yang memegang kuasa politik  ke arah itu tidak ada… dan saya rasa ini adalah kegagalan kita,” katanya.

Seruan ke arah perubahan itu juga gagal kerana terlalu banyak cabaran yang menyekat perubahan berlaku, katanya, seperti drama Melayu di televisyen yang beliau bangkitkan itu.

“Hanya setakat yang dilakukan seruan demi seruan tapi tak ada tindakan. Sedangkan perkara-perkara yang merosakkan mental kita yang nak direvolusikan itu, bagaimana?” – 10 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen