Azmin belum selesa untuk menang di Selangor


Nabihah Hamid

Walaupun Selangor dianggap kubu kuat Mohamed Azmin Ali, namun beliau terpaksa berdepan dengan pengaruh Rafizi Ramli yang semakin melebar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2018.

MOHAMED Azmin Ali belum tentu selesa dan selamat di Selangor dalam persaingannya dengan Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden PKR apabila negeri itu mula mengundi Ahad ini, kata beberapa sumber termasuk penyokongnya sendiri.

Selangor, dengan hampir 250,000 ahli, adalah negeri yang mempunyai ahli PKR paling ramai, membentuk lebih kurang 30% daripada keseluruhan lebih 841,000 ahli yang layak mengundi dalam pemilihan parti itu sejak 23 September lalu.

Walaupun negeri itu dianggap kubu kuat Azmin, namun bekas menteri besar Selangor itu terpaksa berdepan dengan pengaruh Rafizi yang semakin melebar, kata seorang pimpinan PKR negeri.

“Undi di Selangor sudah pecah dua. Isu pelantikan ahli majlis menjejaskan nama Azmin,” kata pimpinan PKR yang juga seorang wakil rakyat kepada The Malaysian Insight.

Beliau yang enggan dinamakan merujuk pada dakwaan wujudnya amalan kronisme dan nepotisme dalam pelantikan jawatan ahli majlis dalam pihak berkuasa tempatan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru lalu.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor letak jawatan berhubung dakwaan itu. Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan beberapa pimpinan kanan parti menafikan tuduhan itu.

Walaupun dinafi, tuduhan tetap jadi bahan kempen menyerang Azmin dan kemnya dalam siri jelajah kem Rafizi ke seluruh negara. Malah, sumber memberitahu The Malaysian Insight kempen Rafizi itu sudah bermula lama sebelum pemilihan PKR Jun lalu.

“Sejak jadi menteri besar, rangkaian Azmin dengan akar umbi berkurang dan Rafizi buat kerja dengan Invoke lebih awal,” kata wakil rakyat itu.

Tetapi calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Radzlan Jalaludin berkata walaupun Rafizi mendahului tipis selepas pengundian di enam negeri setakat ini, keputusan awal itu bukan isyarat penentu siapa yang bakal menang nanti.

“Kita masih ada baki lapan lagi negeri. Selangor saya percaya kuat pada Azmin dan kita akan sedaya upaya membawa namanya (pada pengundian),” kata pimpinan AMK yang menyokong penyandang timbalan presiden itu.

Selepas enam negeri mengundi, Rafizi mendahului Azmin dengan 48 undi, berdasarkan kiraan The Malaysian Insight. Rafizi meraih 19,160 undi berbanding Azmin yang mendapat 19,112 undi, tanpa mengambil kira undi ragu yang belum disahkan oleh jawatankuasa pemilihan pusat.

Kiraan awal di enam negeri yang mengundi setakat ini menunjukkan Azmin menguasai Pulau Pinang dan Johor, sementara Rafizi mendahului di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan dengan kelebihan tipis.

Selangor yang mempunyai 22 cabang akan mengundi pada tiga kali Ahad berbaki sepanjang Oktober ini, dengan sembilan cabang mengundi pada 14 haribulan sebelum tujuh cabang pada 21 haribulan dan enam cabang pada 28 haribulan.

Seleweng undi

Penganalisis sosio politik berpendapat Mohamed Azmin Ali mesti menggiatkan kempennya di Selangor dan Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober 2018.

Bekas setiausaha AMK Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman berkata persaingan di 22 cabang di Selangor bakal sengit tetapi Rafizi akan menguasai lebih separuh cabang.

“Rafizi dijangka akan mendapat jumlah undi yang tinggi di negeri Selangor seterusnya mengatasi Azmin,” katanya, yang letak jawatan Julai lalu selepas menuduh ada amalan nepotisme dan kronisme dalam kerajaan negeri Selangor.

Seorang pemimpin PKR Selangor bagaimanapun menyuarakan kebimbangan, seolah-olah ada yang tidak kena dengan sistem pengundian elektronik (e-voting) ini.

“Kita takut ada penyelewengan kerana keputusan nampak tidak logik. Team Azmin menang di cabang tetapi Azmin kalah untuk undi timbalan presiden,” katanya yang enggan dikenali.

Kebimbangan sama disuarakan oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mendakwa “ada yang tidak kena” apabila undi pada Azmin tidak seimbang dengan undi diterima oleh calon ketua cabang yang menyokongnya.

Mengulas kebimbangan itu, calon timbalan ketua wanita, Dr Daroyah Alwi berkata pihaknya akan bertungkus lumus memastikan semua kumpulan Azmin menang di Selangor.

“Kita akan bersama-sama gembleng tenaga bagi kumpulan kita semua menang. Kita perkuatkan usaha orang kita,” kata Adun Sementa itu, yang tetap percaya Selangor adalah lubuk undi bagi Azmin.

Penyandang jawatan Naib Presiden, Tian Chua juga yakin Azmin bukan saja akan dapat sokongan selesa di Selangor malah menteri Kabinet itu juga akan menang di Sabah, negeri dengan ahli kedua paling ramai.

Selangor dan Sabah membentuk 47% daripada keseluruhan ahli PKR yang layak mengundi pada pemilihan parti ini.

“Azmin akan dapat kejar balik. Kita juga akan pastikan ada pasukan yang memantau secara ketat dalam prosedur pengundian untuk mengelakkan kebarangkalian ada penyelewengan,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu.

Dalam pada itu, penganalisis sosio politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat Azmin mesti menggiatkan kempennya di Selangor dan Sabah.

“Azmin perlu turun sendiri ke dua negeri itu kerana wakilnya dilihat elitis berbanding kem Rafizi. Ahli-ahli PKR yang akan mengundi mahu mendengar kempen daripada Azmin sendiri.

“Keputusan penentunya ialah di Selangor dan Sabah,” katanya. – 13 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen