DR Muhammad Nur Manuty mempertahankan pelantikannya sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu sebagai “amanah dan tanggungjawab” yang diberikan kepadanya untuk memartabatkan universiti.
Pengerusi PKR Perak itu berkata lantikan beliau tidak bercanggah dengan janji politik Pakatan kerana manifesto hanyalah panduan kepada kerajaan, dan bukannya kitab suci yang perlu dipatuhi.
“Saya sudah menerima surat pelantikan. Manifesto bukan Quran. Mereka beri tawaran dan kita terima amanah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Senator Dewan Negara itu menegaskan beliau memiliki integriti dan pengetahuan dengan 40 tahun pengalaman dalam bidang akademik.
“Saya akan gunakan pengalaman untuk meningkatkan universiti dalam semua dimensi seperti dimensi pelajar, dimensi akademik dan sebagainya,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat terperinci berkaitan lantikan mahupun bila beliau akan memulakan tugas.
Muhammad Nur mengulas kenyataan sebuah badan mahasiswa yang mempersoalkan lantikannya ke Unisza, yang disifatkan sekali lagi melanggar janji Pakatan Harapan membebaskan universiti awam daripada pengaruh politik.
Lantikan bekas calon PKR dalam pilihan raya umum 1999 dan 2013 itu menyusul sebulan selepas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sendiri dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Awal hari ini, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) bertanya kepada Maszlee adakah lantikan Muhammad Nur itu seiring dengan usaha beliau sebagai menteri pendidikan mahu memastikan tiada lagi lantikan politik di peringkat tertinggi pentadbiran universiti.
“Apakah kriteria utama yang melayakkan beliau dilantik sebagai pengerusi LPU?” tanya Timbalan Presiden MKM Haissazc Shuqkin Hisham dalam satu kenyataan media hari ini.
Sebulan lalu, pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM mengundang reaksi bercampur daripada pelbagai pihak, termasuk protes bantah duduk oleh aktivis mahasiswa di perkarangan bangunan pejabat menteri di Putrajaya pada 7 September lalu.
Selain Muhammad Nur, turut dilantik menganggotai lembaga pengarah Unisza ialah Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes sebagai wakil swasta dan Dr Zaharuddin Abdul Rahman sebagai wakil berpengetahuan dan berpengalaman.
Komen