BUKAN hak mufti untuk masuk campur siasatan polis, kata Ketua Polis Negara Fuzi Harun selepas Mufti Dr Asri Zainal Abidin meminta seorang pegawai atasan polis dikecualikan daripada siasatan elemen keganasan di Perlis.
“Itu bukan hak beliau (untuk masuk campur siasatan), itu hak PDRM.
“Beliau tidak patut masuk campur (tugas) polis untuk jaga keselamatan negara,” katanya pada sidang media sempena Seminar Pemantapan Integriti dan Pelancaran Jurnal Integriti di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Asri yang juga mufti Perlis meminta polis mengecualikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay dalam mana-mana siasatan elemen keganasan di negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan lapan individu yang mempunyai kaitan dengan ajaran Salafi Jihadi di sebuah pusat tahfiz di Perlis dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM.
Asri juga berkata, pusat tahfiz tersebut tiada kaitan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kerana merupakan ia sekolah persendirian.
Katanya lagi, pihak MAIPs sudah mengambil langkah sewajarnya seperti merujuk status pusat pengajian Tahfiz di Perlis termasuklah pusat tahfiz dalam siasatan itu kepada polis.
24 September lalu, lapan lelaki termasuk tujuh warga asing dan seorang tempatan terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis di negara ini ditahan dalam tiga serbuan serentak dijalankan di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor.
Menurut polis, semua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai penuntut, bekas tenaga pengajar atau bekas penuntut. – 9 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan