DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM149 juta melalui rundingan 23 transaksi tanah yang sebelum ini dibeli oleh syarikat daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan harga yang rendah dan merugikan.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, 23 transaksi tanah itu melibatkan keluasan tanah berjumlah 256.96 ekar.
“Hasil daripada rundingan tersebut telah berjaya meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM149 juta berbanding perjanjian terdahulu yang mana didapati syarikat telah membeli tanah dengan harga yang rendah dan merugikan kerajaan.
“Selain itu, rundingan ini juga telah menperolehi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM6 juta kepada pihak kerajaan.
“Kerajaan juga berjaya mendapat serahan balik tanah yang melibatkan keluasan berjumlah 12.46 ekar dengan nilai tanah sebanyak RM113.8 juta,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DBKL hari ini.
Bagaimanapun, daripada 23 rundingan transaksi tersebut, 16 telah selesai dan dimuktamadkan.
Manakala, tiga memerlukan penilaian semula daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), tiga transaksi tidak mencapai kata sepakat dan satu daripadanya akan melibatkan perbincangan antara peguam.
Dua hari lalu, Khalid berkata DBKL mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk melengkapkan penjualan 43 lot tanah awam, di mana sebelum ini tertangguh susulan tuduhan bahawa ia rundingan yang meragukan.
Katanya, penjualan 10 plot lain dihentikan, dan tanah itu dikembalikan kepada DBKL dengan bayaran ganti rugi kepada bakal pembeli. – 9 Oktober, 2018.
Komen