Hero idealis selalu kecewa


Izmil Amri

Pakatan Harapan yang diketuai Dr Mahathir Mohamad memenangi PRU14 menyaksikan pelbagai reaksi dari seluruh rakyat Malaysia.– Gambar AFP, 8 Oktober, 2018.

PADA tahun 1960, agensi risikan Israel, Mossad menerima maklumat tentang lokasi persembunyian Adolf Eichmann di Buenos Aires, Argentina. Lapan operatif Shin Bet dihantar bagi menentukan identiti Eichmann sebelum melancarkan operasi menangkap dan membawanya pulang ke Israel untuk dibicarakan.

Eichmann adalah watak penting dalam sejarah Holocaust pada Perang Dunia Kedua. Dialah pegawai tinggi Nazi yang bertanggungjawab menguruskan logistik operasi Schutzstaffel (SS) bagi mengangkut masyarakat Yahudi ke kem-kem pembunuhan di Eropah Timur.

Parti Nazi, seperti namanya, mengamalkan Nazisme – sebuah ideologi yang membenci demokrasi dan sistem berparlimen, selain percaya kepada hierarki kaum yang mengiktiraf Bangsa Jerman sebagai kaum Aryan, kaum tuan dalam kalangan negara-negara Nordik. Ia justeru menjalankan pembantaian sistematik ke atas kaum yang bukan sedarah-daging dengannya.

Dalam usaha pembantaian sistematik ini, Eichmann memainkan peranan paling besar sebagai arkitek Endlösung, atau disebut ‘Final Solution’ kepada permasalahan Yahudi yang menghantui bangsa Jerman. ‘Menyelesaikan’ kaum Yahudi inilah yang membawa kepada tragedi Holocaust. Tragedi yang menghapuskan dua pertiga populasi Yahudi di Eropah.

Eichmann dihukum gantung sampai mati pada 1 Jun 1962. Mayatnya dibakar dalam sebuah relau khas, sepertimana nasib sebahagian daripada 6 juta mangsa pembantaian Nazi yang dibakar dalam relau dan ketuhar manusia, atau dibunuh dengan gas beracun di dalam sebuah kamar besar atau disumbat sahaja beramai-ramai ke dalam sebuah lori yang dikunci. Sejarah kemudiannya memberitahu kita bagaimana lemak-lemak cair dari mayat yang dibakar itu akhirnya dibuat menjadi sabun.

Filem Operation Finale yang baru sahaja ditayangkan di Netflix, memaparkan suatu babak ceramah Nazi ketika penceramahnya bertanya kepada hadirin, apa yang patut dibuat dengan Yahudi. Salah seorangnya menjawab ‘sabun’ yang kemudiannya disahut beramai-ramai sebelum melaungkan ‘sieg heil’.

Operation Finale merakamkan penangkapan Eichmann, atau lebih tepat, penculikannya sebelum dibawa lari ke Israel. Kes penculikan Eichmann sehingga kini dipelajari oleh mahasiswa undang-undang dalam subjek undang-undang antarabangsa, terutamanya tentang doktrin mala captus bene detentus. Tapi itu cerita lain.

Cerita hari ini ialah tentang bagaimana hero idealis selalu kecewa.

Ketika Israel menangkap dan membicarakan Eichmann, ia memperjuangkan nasib bangsanya yang hampir hancur luluh di tangan Nazi bedebah itu. Tujuan utama Eichmann dibawa pulang ialah supaya seluruh dunia boleh melihat wajahhnya yang berdosa, menjawab soalan-soalan pihak pendakwa, dan kemudian mendengar sendiri keterangan saksi mata tragedi Holocaust.

Eichmann tidak dibunuh sahaja di Argentina. Malah diberi peluang untuk membela diri. Tapi itu cerita dulu. Ketika Zionisme baharu sahaja kenal erti kuasa dan diberi sebuah negara.

Hari ini, rejim Zionis Israel sudah mengambil alih rupa bentuk parti Nazi yang diperanginya dahulu. Hari demi hari kita menyaksikan bagaimana rakyat Palestin dihalau keluar dari rumah-rumah mereka yang kemudiannya dirobohkan bagi membina perumahan haram Israel. Rakyatnya dibunuh beramai-ramai dalam tragedi Sabra dan Shatilla. Anak-anak Palestin dikasari tentera Israel tanpa kasihan belas – sama sahaja seperti yang terjadi sewaktu Perang Dunia Kedua.

Ini membuatkan kita tertanya, apa perasaan mereka yang dahulu menjadi mangsa parti Nazi, melihat tindakan rejim Zionis terhadap bangsa Palestin. Tidakkah mereka berasa kecewa atau adakah mereka juga sama naik bertepuk tangan melihat kezaliman yang mereka sendiri lalui dahulu?

Kita kemudiannya kembali memeriksa persekitaran sendiri.

Kita melihat bagaimana Datuk Seri Najib Razak diseret ke mahkamah, diikuti isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang baru sahaja didakwa dengan 17 pertuduhan. Kita melihat bagaimana wajah Rosmah menghiasi muka-muka depan akhbar dan kita berasa lega.

Najib Razak diiringi ke mahkamah bagi perbicaraan kes pengubahan wang haram ekoran skandal 1MDB yang dikaitkan dengan beliau.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

Puas hati sungguh melihat bagaimana akhirnya punca segala bobrok dan tragedi kewangan negara akhirnya menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Lima bulan sudah berlalu sejak kita ketawa riang menyaksikan peralihan kuasa dan tumbangnya sebuah rejim. Malaysia seolah-olah baru kebah dari demam yang panjang. Wajah ibu pertiwi yang pucat lesi kembali berseri-seri.

Namun perlahan-lahan kita mula melihat bagaimana Malaysia Baharu sebenarnya tidak lari jauh dari Malaysia Lama. Dan kita mula merasa kecewa dengan betapa cepatnya mereka lupa.

Hero idealis memang selalu kecewa. Realpolitik tidak seperti impian yang kita jangka. Namun adakah kita boleh berputus asa? Jawapannya tentu sekali tidak. 

Politik adalah proses yang tidak akan pernah selesai. Malaysia adalah kerja tidak siap yang akan terus diusahakan. Akan terus ada golongan yang tidak berkerumun ke koridor kuasa demi menjadi suara hati mereka yang gelap mata dan mabuk dengan kedudukan dan kekuasaan yang dinikmati.

Maka jaga-jaga yang gigih berkempen sambil menyalah guna sumber kerajaan di sana. Hero-hero kecewa ini ada di mana-mana. Dan mereka tidak akan pernah surut melawan.– 8 Oktober, 2018.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen