KERAJAAN perlu mereformasi Mahkamah Syariah kerana terdapat kelemahan dan percanggahan kuasanya dengan Perlembagaan Malaysia, kata penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.
Pegawai penerangan di pejabat ketua menteri Pulau Pinang itu lagi berkata ia perlu diusahakan supaya isu seperti perkahwinan bawah umur atau gangguan seksual dapat diselesaikan dengan baik.
“Sebagai contoh, mahkamah syariah yang benarkan kes kahwin kanak-kanak. Malah, ada mufti yang cadangkan perkahwinan bawah umur daripada 16 tahun diturunkan ke 14 tahun,”
“(Kita) nak buat perubahan, tetapi tidak tahu sejauh mana usaha yang dilakukan oleh Malaysia Baharu,” kata beliau satu forum berkaitan keselamatan wanita di ibu negara, hari ini.
Antara kes perkahwinan bawah umur yang mendapat perhatian meluas termasuk pernikahan seorang lelaki 41 di Gua Musang dengan kanak-kanak berusia 11 tahun yang berasal daripada Thailand.
Turut menjadi perhatian kes remaja perempuan berusia 15 tahun berkahwin dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), berumur 44 tahun di Tumpat.
Wan Ji seterusnya berkata percanggahan dalam Perlembagaan dan Mahkamah Syariah juga meliputi perkara melibatkan penyebaran agama Islam.
“Sebab kalau baca perlembagaan, agama Islam bebas disebarkan. Tapi dalam Mahkamah Syariah tak boleh sebarkan agama kecuali dapat keizinan daripada Mahkamah Syariah dahulu.
“Mana konsep kebebasan?” soal beliau yang pernah ditahan polis atas dakwaan memberi ceramah agama tanpa tauliah.
Bagi beliau, masalah tersebut tidak boleh dipandang daripada sudut perundangan semata-mata tetapi perlu juga disebabkan sikap sesetengah masyarakat yang konservatif.
“Sebelum kita bincang undang-undang, kita bincang dulu daripada segi sikap (masyarakat). Sikap ini memang datang daripada budaya tetapi terpengaruh dengan penafsiran agama yang salah.
“Apabila orang tafsir agama itu popular, mereka terima yang popular maka tidak terima Al-Quran, riwayat Hadis. Itu yang kena ubah,” jelasnya
Forum tersebut itu juga disertai oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah serta beberapa aktivis wanita daripada pelbagai pertubuhan seperti Sumitra Visvanathan, Chang Mei Yen, Jean Vaneisha, dan Dayangku Zyana.– 7 Oktober, 2018.
Komen