LELAKI berusia 41 tahun meminta masyarakat tidak menyalahkannya ekoran berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun kerana telah merujuk kepada individu yang lebih arif.
Lelaki yang “nikah gantung” di Selatan Thailand pada minggu pertama Syawal menegaskan pernikahan tersebut hanyalah pengikat hubungan dan tidak tinggal bersama, lapor Sinar Harian.
“Saya mengenali isteri ketiga saya sudah lama dan saya menyembunyikan pernikahan ini untuk mengelakkan terjadinya perselisihan faham bagi dua isteri lain.
“Saya nikah gantung dan tidak tinggal bersama isteri ketiga. Dia masih berada di bawah jagaan ibu bapanya dan kami sudah berjanji, akan mengambil isteri saya apabila dia cukup umur.
“Perkara ini tidak salah kerana saya sudah rujuk mereka yang lebih arif di Selatan Thailand. Janganlah menyalahkan saya dan mengaibkan kami,” katanya dipetik portal itu.
Lelaki berasal dari Kelantan itu mempunyai enam anak hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama dan kedua.
Kisahnya tular apabila isteri keduanya, memuat naik catatan dan foto perkahwinan suaminya dengan kanak-kanak usia 11 tahun itu di Facebook.
Perkahwinan tersebut mendapat kritikan hebat di media sosial selain menjadi perhatian pihak berkuasa Kelantan untuk melakukan siasatan segera. – 30 Jun, 2018.
Komen