SOP bomba perlu dikaji semula elak kejadian berulang, kata Zuraida 


Nabihah Hamid

PROSEDUR Operasi Standard (SOP) menyelamat bomba perlu dikaji semula dan ditambahbaik bagi mengelakkan kejadian kematian 6 bomba berulang, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. 

Ahli Parlimen Ampang itu berkata keperluan pemakaian ‘human chain’ pada kejadian di sebuah lombong di puchong perlu dikaji memandangkan paras air hanya setinggi 4 kaki. 

“Kita mesti kena kaji. Mungkin ada yang kena perbaiki dan sebagainya. Tempat di sana memang air 4 kaki sahaja. 

“Kalau tengok dari segi itu memang kemungkinan untuk berlaku (sesuatu) kemalangan itu tak mungkin. Jadi itulah (sebab) yang kita rasa terkilan.

“Di pihak KPKT bahagian bomba kita akan tubuh jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) untuk jalankan sedikit siasatan dan maklumat terperinci atas kejadian itu,” katanya kepada media pada pengundian pemilihan di cabang Lembah Pantai. 

Pihaknya kini masih menunggu laporan daripada pihak bomba. 

Enam anggota bomba pada 3 oktober lalu mati lemas ketika terlibat dalam operasi menyelamat seorang remaja lelaki yang jatuh di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong awal malam tadi. 

Menurut jurucakap bomba, semua pegawai penyelamat itu sempat diberikan bantuan kecemasan tetapi gagal diselamatkan.– 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen