Pimpinan PKR harap Dr Mahathir ikhlas bantu Anwar


Nabihah Hamid

Dr Mahathir Mohamad akan turun membantu Anwar Ibrahim di Port Dickson menyaksikan kedua-dua pemimpin itu duduk di atas pentas buat pertama kali dalam masa dua puluh tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018.

BEBERAPA pemimpin PKR menyambut baik hasrat Dr Mahathir Mohamad membantu bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim berkempen di PRK Port Dickson. 

Namun, pengkritik tegar Perdana Menteri, Abdullah Sani berkata beliau mengharapkan pemimpin tersebut akan membantu Anwar dengan seikhlas hati. 

“Ini petanda bahawa sudah berada dalam satu tahap dalam era penerimaan secara positif, kalau ikhlaslah. Tapi apa yang saya tekankan sebelum ini saya masih berpegang kepada prinsip jangan mengkhianati sahabat. Kalau kita dah bersetuju, kita setuju. 

“Dan (jangan) kita ada lorongan kedua, untuk kita mencari jalan untuk menyekat seperti mana yang kita persetuju dalam konsensus Pakatan Harapan,” kata calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) itu. 

Ahli Parlimen Kapar itu yang mengakui dapat melihat keikhlasan Dr Mahathir bagaimanapun berkata akan terus menjadi pengkritik sekiranya ada konspirasi menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri berlaku. 

Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani dilihat sebagai pemimpin PKR utama yang mengkritik Dr Mahathir dan Tun Daim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018

“Tun Mahathir saya nampak dia ada keihlasan dalam segi memberi sokongan. Saya berpegang pada prinsip seperti mana yang saya bicarakan, saya tidak mahu ada rangkaian untuk menafikan, konspirasi jatuhkan Anwar ibrahim. Sekiranya mereka ikhlas alhamdulillah, kalau mereka tidak ikhlas terserah kepada Allah,” katanya lagi. 

Sementara itu, Ketua Calon AMK Akmal Nasir berkata tindakan Dr Mahathir mahu sepentas dengan Anwar esok membuktikan langkah mengadakan PRK di PD adalah tepat. 

“Itu merupakan signal yang jelas langkah kita ambil untuk mengadakan PRK PD akan membuahkan hasil.

“Bagi saya yang penting kita kena berlaku telus supaya perkara ini tidak dibincangkan sebalik tabir. Saya rasa hasil tekanan daripada Abdullah sani sekurang-kurangnya memaksa pihak-pihak tertentu nyatakan sokongan secara terbuka. 

“Kehadiran mereka menyatakan sokongan kepada Anwar memberi gambar bahawa semakin kurang untuk ruang konspirasi,” kata ahli parlimen Johor Bahru itu. 

Adun Kota Anggerik Najwan Halimi menyifatkan kesanggupan Dr Mahathir itu membuktikan tiada perbalahan antara kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018.

Sementara itu calon Ketua AMK Najwan Halimi berkata gabungan Dr Mahathir dan Anwar esok membuktikan tiada perbalahan di dalam antara dua tokoh tersebut.

“Satu perkembangan yang sangat baik yang menutup cakap cakap orang wujud permasalahan antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim. 

“Kalau turun kempen, dia (Dr Mahathir) hendak tolong nak bantu menangkan. Dalam politik ini jangan kita terlampau remehkan niat baik orang, kita anggap sahaja ia positif, sesuatu yang baik,” kata Adun Kota Anggerik kepada media. 

Dalam pada itu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar enggan mengulas perkara tersebut. 

“Anwar sebagai calon boleh sahaja keluarkan komentar sendiri, beliau calon nombor 1, saya serah pada kebijaksanaan beliau, saya tumpu kepada pengundi PD rumah ke rumah,” kata ahli parlimen Permatang Pauh itu. 

Semalam, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin membuat kejutan apabila berkempen untuk calon Anwar. 

Beliau yang juga bekas menteri kewangan menyertai Anwar pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang di sini yang turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Dr Mahathir bakal sepentas dengan Anwar Ibrahim pada esok malam. Itu merupakan gabungan pertama kali selepas 20 tahun. – 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen