TIDAK ada perjanjian antara wartawan Wall Street Journal Tom Wright dengan pengasas Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown berkenaan maklumat atau perkongsian sumber dalam mendedahkan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
“Tidak ada perjanjian antara kami tentang cara kami patut membuat laporan bersama atau apa-apa seperti itu,” kata pengarah buku The Billion Dollar Whale hari ini.
Wright berkata demikian sebagai menolak dakwaan Rewcastle Brown bahawa beliau melanggar janji untuk tidak menerbitkan semula maklumat yang diterima daripada sumber di mana ia diberikan oleh Rewcastle Brown kepadanya.
Wright berkata Rewcastle Brown mungkin merujuk kepada dokumen yang dimuat naik secara online berkenaan pindahan wang ke dalam akaun bekas perdana menteri Najib Razak.
“Ada dua individu ditahan yang bekerja di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sebahagian daripada tindakan keras kerajaan.
“Ingat atau tidak selepas maklumat tentang AS$681 juta itu terbocor, Najib memecat peguam negara, pecat timbalannya Muhyiddin Yassin dan menggantung lesen penerbitan The Edge.
“Ini tidak ada kena mengena dengan dokumen yang saya muat naik, walaupun BN lebih suka maklumat itu tidak terbocor.”

Bulan lalu, Rewcastle Brown mendesak penjelasan Wright bagaimana beliau memperoleh butiran tentang transaksi bank AS$681 juta (RM2.8 bilion) membabitkan Najib untuk buku berkenaan.
Rewcastle Brown mengecam buku Wright, berkata beliau yang pertama mendedahkan tentang skandal 1MDB dan memberikan sumbernya kepada wartawan WSJ itu.
Dalam satu artikel panjang disiarkan di Sarawak Report, Rewcastle Brown berkongsi bab 23 daripada bukunya, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”, mendedahkan butiran pertukaran antara beliau, sumbernya dan wartawan Wright dan Simon Clarke.
Rewcastle-Brown berkata petikan itu mencabar dakwaan penulis Billion Dollar Whale bahawa “orang dalam yang menyiasat 1MDB menghampiri mereka”. – 7 Oktober, 2018.
Komen