CALON Majlis Pimpinan Pusat Fahmi Fadzil yakin pemilihan PKR di Kuala Lumpur akan berjalan lancar seperti mana pemilihan empat buah negeri sebelum ini.
Beliau turut yakin tiada lagi insiden baling kerusi seperti di Pulau Pinang kerana menganggap kelemahan sistem e-voting telah banyak diatasi.
“Yang lebih penting penyelesaian masalah yang mungkin timbul seperti kekacauan dan sebagainya. Di Lembah Pantai hari ini alhamdulillah kedua-dua pihak setakat ini tiada masalah.
“Dan saya akan pastikan kerusi-kerusi yang ada di sini tidak dibaling. Dilarang membaling, sila duduk dan jangan baling kerusi. Itulah nasihat kami,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada media di Pusat Komuniti Eco Park Kuala Lumpur.
Katanya, cabang Lembah Pantai yang memiliki ahli tertinggi itu mendapat kehadiran yang memberangsangkan sejak pagi.
“Kira-kira 6,000 ahli dan saya jangka 2,000 akan turun mengundi. Lihatlah kemeriahan hari ini macam pilihan raya umum.”
Pengundian di Pulau Pinang bertukar kecoh namun empat negeri selepasnya berjalan lancar. – 7 Oktober, 2018.
Komen