PKR adakan pemilihan baharu di Kedah, keputusan Pulau Pinang kekal


Chan Kok Leong

Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim berkata audit juga akan dijalankan bagi memastikan integriti sistem e-undi yang pertama kali digunakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 September, 2018.

PKR akan mengadakan pemilihan parti baharu di Kedah tetapi mengekalkan keputusan di Pulau Pinang, kata Anwar Ibrahim.

“Kepimpinan parti bersetuju dengan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR untuk membatalkan keputusan pemilihan di Kedah manakala keputusan di Pulau Pinang kekal,” kata bakal presiden PKR itu di ibu pejabat parti malam ini.

Anwar juga berkata proses pengundian akan diaudit bagi memastikan integriti sistem e-undi.

Pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang hujung minggu lepas tercemar apabila timbul kekecohan hingga memaksa parti menangguhkan proses pemilihan di Negeri Sembilan dan Melaka yang dijadualkan pada 29 September.

PKR mengisytiharkan keputusan di Kedah tidak sah selepas sembilan cabang tidak dapat meneruskan sistem e-undi yang pertama kali digunakan. 

Berdasarkan keputusan undi dari 13 cabang PKR di Pulau Pinang, Azmin menerima 3,326 undi, menewaskan Rafizi yang memperoleh 3,150 undi, dipisahkan hanya 176 undi.

Pengerusi JPP Rashid Din berkata tiada tarikh baharu bagi pemilihan di Kedah belum ditetapkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 September, 2018.

Mesyuarat biro politik malam ini diadakan bagi mengenal pasti beberapa kelemahan berhubung proses pengundian, kata Anwar.

“Tetapi pemilihan akan diteruskan dengan di Johor pada 30 September,” kata Anwar yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson bulan depan.

Beberapa juruteknik katanya akan dihantar ke semua negeri untuk membantu kelancaran proses pengundian memandangkan ini kali pertama ahli parti menggunakan sistem e-undi.

Pengerusi JPP Rashid Din berkata tiada tarikh baharu bagi pemilihan di Kedah belum ditetapkan. Parti juga katanya akan memecat dua ahli dari cabang Merbok dan Seberang Jaya kerana mencetus kekecohan.

Di Merbok, berlaku pergaduhan dan ahli itu dikenal pasti dan dipecat serta-merta. Di Seberang Jaya, kita sudah kenal pasti orang yang lempar kerusi dan dia juga akan dipecat,” kata Anwar. – 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen