TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Azis Jamman yang dikecam hebat kini berkata beliau tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Hasutan ketika mengulas penahanan adik Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam tiga hari lalu.
Katanya, beliau hanya mengatakan yang akta itu masih berkuatkuasa sehinggalah Putrajaya menghapuskannya.
“Secara peribadinya saya tak setuju dengan akta itu. Ia undang-undang yang digunakan Barisan Nasional untuk mempertahankan kepentingan politik mereka.
“Tetapi secara profesionalnya, akta itu masih berkuatkuasa, sehingga dibatalkan atau dihapuskan.
“Begitu juga dengan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma. Ia belum dihapuskan juga,” katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu hari ini.
Azis berkata ada pihak yang salah tafsir penjelasannya bahawa beliau menyokong akta menekan itu digunakan untuk menahan adik Lokman, Azman Noor Adam.
“Apa yang saya kata tentang Akta Hasutan hanyalah menyatakan fakta.
“Hakikat yang akta itu masih sah dan penggunaannya oleh polis tidak menyalahi mana-mana peraturan,” katanya.
Azis menambah yang beliau juga terkejut apabila Ketua Polis Negara Fuzi Harun memberitahunya selepas mesyuarat Kabinet baru-baru ini tentang penggunaan Akta Hasutan kepada Azman berbanding akta lain.
2 Oktober lepas, polis menahan Azman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana memuatnaik gambar yang “menghina” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di akaun media sosialnya.
Beliau ditahan empat hari.
Kenyataan Azis sebelum ini yang “menyokong” penggunaan akta tersebut dikecam banyak pihak termasuklah peguam terkenal N Surendran yang menyifatkan ahli Parlimen itu tidak layak jadi timbalan menteri.
Seorang lagi peguam yang juga setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan hari ini pula menggesa moratorium dikuatkuasan untuk menyekat penggunaan Akta Hasutan sehingga ia dihapuskan kerajaan Pakatan Harapan. – 5 Oktober, 2018.
Komen