PIHAK berkuasa perlu berhenti menahan dan menyiasat menggunakan Akta Hasutan, memandangkan Putrajaya berniat mahu memansuhkan akta tersebut, kata peguam Syahredzan Johan.
Beliau yang juga setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menyeru kerajaan mengenakan moratorium terhadap pelaksanaan serta penggunaan Akta Hasutan dan akta-akta lain yang bersifat drakonian sehinggalah dimansuhkan kelak.
“Moratorium itu haruslah merangkumi aspek seperti penyiasatan, penahanan dan pendakwaan di bawah akta tersebut,” kata Syahredzan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata pihak berkuasa harus mengubah cara tindakan mereka di bawah kerajaan baharu.
“Sekiranya benar ada standard operating procedure (SOP) berkaitan dengan Akta Hasutan, SOP tersbut wajar disemak semula.
“SOP tidak boleh dijadikan alasan untuk terus menyekat kebebasan asasi rakyat.”
Syahredzan mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman semalam iaitu polis akan terus menggunakan Akta Hasutan bagi tangkapan dan siasatan kerana undang-undang tersebut masih belum dipinda atau dimansuhkan.

Azis yang dikecam selepas itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata ahli politik perlu terbuka kepada kritikan dan tidak bersetuju dengan tindakan polis menahan individu hanya kerana catatan di media sosial.
Isu bermula apabila polis menahan Azman Noor Adam, adik Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam di bawah Akta Hasutan kerana menyebarkan imej di media sosial yang didakwa menghina perdana menteri.
Ketika diminta mengulas kejadian tersebut, Dr Mahathir berkata tidak wujud keperluan untuk polis menahan orang kerana beliau tidak terkesan dengan “penghinaan” itu.
Menurut Syahredzan, sekalipun pemansuhan Akta Hasutan belum dimuktamadkan, kerajaan Pakatan Harapan menerusi manifestonya telah berjanji akan memansuhkannya.
“Perlu diingat bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang anti-demokratik peninggalan British untuk memastikan bahawa rakyat di bawah jajahan mereka dahulu tidak bangkit untuk menentang mereka.
“Akta Hasutan menjenayahkan ekspresi yang dikatakan mempunyai ‘kecenderungan menghasut. Kecenderungan menghasut ini merangkumi pelbagai perkara yang menjadikan undang-undang ini mudah disalahgunakan untuk tujuan politik.
“Pelaksanaan Akta Hasutan ini mewujudkan ‘kesan menakutkan’ atau chilling effect di kalangan rakyat dan menyekat kebebasan bersuara dan mengelaurkan pendapat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Adalah jelas undang-undang seperti Akta Hasutan ini tidak mempunyai tempat di dalam Malaysia Baharu yang menjanjikan ruang demokratik yang luas dan bebas,” katanya. – 5 Oktober, 2018.
Komen