Timbalan menteri dikecam kerana 'bela' Akta Hasutan


Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman dikecam selepas berkata polis hanya ikut SOP tahan orang di bawah Akta Hasutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman menjadi sasaran kecaman selepas berkata Akta Hasutan akan terus digunakan oleh polis untuk penahanan dan siasatan.

Antara yang mengecamnya termasuklah rakan politik Pakatan Harapan kerana kerajaan sudah berjanji dalam manifestonya akan menghapuskan akta menekan itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh (DAP), berkata kenyataan Aziz mencerminkan kurangnya kesungguhan kerajaan untuk menghapuskan akta menindas rakyat seperti Akta Hasutan.

“Pengumuman Azis terlepas pandang yang undang-undang tidak seharusnya digunakan kepada sesiapa sahaja, tanpa kaitan pendirian politik kerana ia hanya menunggu masa untuk dihapuskan.

“Malah, Kementerian Dalam Negeri perlu membuat pengumuman sebegitu secepat mungkin supaya sumber kerajaan tidak dibazirkan dalam siasatan kesalahan yang sudah tidak jadi kesalahan tidak berapa lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Peguam yang juga pengerusi Biro Undang-Undang DAP Nasional itu berkata semua rakyat tahu akta tersebut disalah guna untuk mendiamkan penentangan terhadap kerajaan pada masa dahulu.

Dengan memilih untuk terus menggunakan, Ramkarpal berkata kerajaan sekarang akan dilihat tidak berbeza dengan pentadbiran terdahulu dalam perkara ini.

“Adalah diharapkan pengumuman Akta Hasutan dihapuskan akan dibuat dalam masa terdekat, dan Azis sepatutnya bekerja menuju matlamat itu berbanding mempertahankannya dengan alasan yang ia masih berkuatkuasa.”

Ramkarpal juga berkata penghapusan Akta Hasutan juga tidak sukar kerana ia hanya memerlukan kelulusan dan sokongan Parlimen.

“Jika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh dihapuskan hampir serta merta selepas PRU14, perkara sama boleh berlaku kepada Akta Hasutan juga.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak bersetuju dengan tangkapan sesiapa sahaja hanya kerana catatan di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

Ramkarpal berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri berkata ahli politik perlu terbuka kepada kritikan dan tidak bersetuju dengan tindakan polis menahan individu hanya kerana catatan di media sosial.

Isu bermula apabila polis menahan Azman Noor Adam, adik Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam di bawah Akta Hasutan kerana menyebarkan imej di media sosial yang didakwa menghina perdana menteri.

Ketika diminta mengulas kejadian tersebut, Dr Mahathir berkata tidak wujud keperluan untuk polis menahan orang kerana beliau tidak terkesan dengan “penghinaan” itu.

Di majlis berlainan, susulan kenyataan Dr Mahathir, Azis menjelaskan yang polis hanya mematuhi prosedur operasi standard (SPO) selepas menerima laporan polis.

Katanya, polis akan terus menggunakan Akta Hasutan kerana akta tersebut masih belum dihapuskan atau dipinda.

Peguam N Surendran juga mengecam kenyataan Azis menerusi Twitternya.

“Jika orang ini cakap begitu, dia tak layak jadi timbalan menteri! Tak masuk akal cakap tentang SOP polis. Dia perlu dapatkan salinan manifesto PH dan bacanya,” kata bekas ahli Parlimen Padang Serai itu. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen