Kami cuba sedaya upaya tak langgar peraturan PRK Selangor, kata PKR


Nabihah Hamid

Kami ambil maklum teguran Bersih mengenai pelangaran peraturan di PRK Seri Setia dan Balakong, kata Pengarah Jentera PKR Selangor Amirudin Shari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018.

PKR sudah berusaha sedaya upaya untuk tidak melanggar peraturan pada Pilihan Raya Kecil Seri Setia kerana tidak mahu mengulangi kesilapan di PRK Sungai Kandis, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Saya kira kita telah kawal dengan cukup baik khususnya di Sungai Kandis, di Seri Setia dan sebagainya. Namun demikian kita akan meneliti supaya tidak berlaku aspek-aspek yang kurang wajar seperti itu,” katanya yang juga pengarah jentera PKR Selangor kepada wartawan selepas majlis bersama media di Shah Alam hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 yang membidas Pakatan Harapan (PH) kerana mengulangi kesilapan sama melanggar peraturan PRK Seri Setia dan Balakong, walaupun sudah ditegur selepas PRK Sungai Kandis. 

Bersih juga mendakwa calon PH dikesan melakukan lebih banyak kesalahan berbanding calon MCA dan PAS dalam dua PRK itu.

PH turut disifatkan mengulangi kesilapan Barisan Nasional (BN) seperti menyalah guna aset kerajaan dalam berkempen selain mengadakan jamuan untuk meraih undi.

Antara kesilapan sama yang dilakukan PH adalah menggunakan aset kerajaan, memberi saguhati selain membuat jamuan makan buat pengundi. 

Namun, calon Majlis Pusat Pimpinan (MPP) itu menegaskan terdapat beberapa program yang telah disusun oleh penyandang di DUN berkenaan. 

“Mungkin ada beberapa acara yang mungkin menimbulkan persoalan tetapi macam di Seri Setia, program anjuran Unisel adalah untuk menarik orang datang ke Unisel dan program yang disusun sebelum Dr Shahruddin Badaruddin meninggal dunia. 

“Jadi saya kira program itu tidaklah secara langsung menjadi platform undian dan platform kempen, secara jujur saya katakan mungkin kita sudah berusaha sedaya upaya kurangkan ketidakseimbangan dan penggunaan aset kerajaan,” katanya yang juga Adun Sungai Tua itu.

Kritikan dilontar Bersih terhadap pelanggaran pilihan raya kecil itu adalah kali kedua selepas PRK Sungai Kandis yang dakwa Bersih, taktik kotor termasuklah penggunaan aset kerajaan dan memainkan isu kaum dan agama digunakan PH dan Barisan Nasional (BN). – 5 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen