Mahkamah semak keputusan gali semula kubur CEO Cradle


Zaim Ibrahim

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menyemak semula keputusan majistret membenarkan kubur ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan digali semula kerana sebelum ini dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang salah.

Kerja-kerja menggali semula akan diteruskan tetapi ia kini bukan sebahagian daripada inkuiri, seperti yang diputuskan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Isnin lepas.

Hakim Ab Karim Ab Rahman dalam semakannya meminda perintah gali semula untuk bedah siasat kali kedua itu, kali ini mengikut Seksyen 329 Kanun Aturcara Jenayah.

Isnin lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan yang dibuat melalui Seksyen 339(3) iaitu tatacara berhubung inkuiri.

“Kami membuat semakan ini kerana perintahnya dikeluarkan mengikut undang-undang yang salah,” kata peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili balu Nazrin, kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, perintah itu cacat kerana pada masa ini siasatan kematian Nazrin bukan inkuiri tetapi masih siasatan polis.

“Hakim bersetuju dengan hujah kami dan meminda perintah yang dikeluarkan oleh majistret,” katanya.

Mahkamah mengekalkan perintah gali semula dan bedah siasat kedua itu kerana berpendapat kes itu masih dalam proses siasatan, tambahnya.

Laporan sebelum ini menyebut kubur itu akan digali semula Isnin ini, 8 Oktober.

Isnin lepas, abang Nazrin, Dr Malek Hassan, 60, seorang doktor perubatan mendapatkan perintah untuk bedah siasat kedua selepas kematian adiknya itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata polis sudah mengambil keterangan saksi serta anggota keluarga Nazrin dan akan melengkapkan kertas siasatan “dalam masa terdekat”.

Sekurang-kurangnya lima individu ditahan ini untuk membantu siasatan, termasuk balu Nazrin, Samirah Muzaffar dan dua anak tirinya. 

Samirah dibebaskan pada 13 September lalu selepas ditahan reman 10 hari. Beliau ditahan pada hari sama bekas suaminya ditahan.

Dua anak lelakinya, yang juga anak tiri kepada Nazrin, turut ditahan reman. Dua remaja berumur 14 dan 16 tahun itu pada mulanya diperintah ditahan reman selama tujuh hari tetapi dibebaskan pada hari keempat pada 12 September.

Adik Samirah, yang juga adik ipar Nazrin, serta suaminya turut ditahan reman empat hari tetapi diperintah bebas oleh mahkamah pada hari ketiga.

Nazrin ditemui mati selepas bilik tidurnya di sebuah rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara terbakar pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.

Keluarganya mendakwa telefon bimbitnya meletup, menyebabkan kebakaran. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan mengatakan kematian ketua pegawai eksekutifnya itu berpunca daripada letupan daripada telefon bimbit yang dicas di sebelah katilnya. 

Bagaimanapun, bulan lalu, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas penyiasat menemui kesan petrol di bilik tidur berkenaan. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen