Waris perjelas keperluan bedah siasat kedua kematian CEO Cradle Fund 


Alfian Z.M. Tahir

TERDAPAT kecederaan di kepada CEO Cradle Fund Nazrin Hassan yang tidak berlaku disebabkan letupan telefon bimbit, kata abangnya Dr Malek Hassan, dan menambah ia menjadi punca mengapa beliau meminta bedah siasat kedua dijalankan terhadap mayat adiknya. 

Dr Malek yang menyaksikan mayat adiknya selepas bedah siasat menyedari terdapat luka di bahagian kiri kepalanya yang terlalu besar dan dalam untuk disebabkan oleh objek tumpul seperti telefon bimbit.

“Kecederaan di kepala Nazrin hanya boleh berpunca daripada objek tajam kerana lukanya terlalu dalam,” kata Dr Malek kepada The Malaysian Insight. 

“Saya adalah doktor perubatan dan saya pernah melihat mayat sebelum ini. Saya lihat mayat (Nazrin) di bilik mayat ketika bedah siasat pertama selesai. 

“Saya dimaklumkan kematian berpunca daripada letupan telefon bimbit kemudian menyebabkan kebakaran yang didakwa menyebabkan Nazrin terbunuh.”

Doktor berusia 60 tahun itu berkata, sebagai orang Islam, keluarga tidak mahu menangguhkan pengebumian Nazrin dan memutuskan untuk menerima keputusan bedah siasat pertama.

Hanya bila polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh baru Dr Malek sedar rasa sangsinya mungkin betul, yang Nazrin bukan terbunuh disebabkan kebakaran yang didakwa berpunca daripada letupan telefon bimbit. 

Sebelum ini dilaporkan Nazrin mengalami kecederaan di bahagian leher, dipercayai berpunca daripada anak panah. Polis turut menemui senjata yang didakwa sebagai senjata pembunuhan di dalam satu beg memanah di rumah salah seorang suspek. 

Dalam siasatan kes bunuh setakat ini, polis telah menahan balu Nazrin berusia 43 tahun yang merupakan eksekutif kanan di  Malaysian Intellectual Property Corporation, bekas suaminya, dua anak remajanya, adik ipar Nazrin dan suaminya. Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan. 

Kesemua suspek setakat ini adalah daripada keluarga balu mangsa.

Anak tiri Nazrin turut ditahan untuk membantu siasatan berhubung kematian CEO Cradle Fund itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018

Dr Malek yang bertugas selama 30 tahun dalam bidang itu tidak menamakan mana-mana suspek tetapi hanya menuntut keadilan untuk adiknya. 

“Saya tidak menuding jari menuduh sesiapa tetapi saya hanya bercakap benar. Adik saya mati bukan disebabkan kebakaran,” katanya.

Berhubung kesan kecederaan di badan Nazrin, Dr Malek berkata kepala dan dada Nazrin terbakar dengan teruk. 

Selain kesan terbakar, terdapat juga kecederaan di bahagian atas kepalanya. 

“Dada dan kepalanya terbakar teruk. Sekiranya ia adalah letupan telefon bimbit, kepala dan dada kamu tidak akan seteruk itu. Kepalanya rentung,” tambahnya. 

“Terdapat juga kesan kecederaan lain pada tubuhnya,” kata doktor itu tanpa mengulas lanjut. 

Dr Malek menjelaskan, beliau mahu bedah siasat kedua dijalankan agar keluarganya tahu kebenaran tentang bagaimana Nazrin dibunuh. 

“Sebagai orang Islam, kami sekeluarga menerima apa yang berlaku. Tetapi kami perlu tahu kebenaran. Apa motif sebenarnya, punca kematian dan mengapa Nazrin dibunuh?

“Orang tidak akan membunuh tanpa sebab,” katanya.

Pada Isnin, polis memohon untuk menggali semula mayat Nazrin selepas abangnya memohon untuk bedah siasat kedua dijalankan, dan mengatakan beliau tidak berpuas hati dengan hasil bedah siasatan pertama yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur. 

Nazrin ditemui mati selepas bilik tidurnya di sebuah rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara terbakar pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya. 

Keluarganya kemudian mengatakan telefon bimbitnya meletup, menyebabkan kebakaran. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan mengatakan kematian CEOnya itu berpunca daripada letuan dari telefon bimbit yang dicas di sebelah katilnya. 

Bagaimanapun, bulan lalu, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas penyiasat menemui kesan petrol di bilik tidur berkenaan. – 4 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen