Balu Nazrin mohon semak semula bedah siasat kedua


Zaim Ibrahim

BALU kepada Nazrin Hassan membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini untuk menyemak semula keputusan mahkamah membenarkan bedah siasat kali kedua terhadap jenazah ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd itu.

Samirah Muzaffar membuat permohonan itu selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya Isnin lepas memberi kebenaran kepada polis menggali semula kubur Nazrin yang meninggal dunia pada Jun lalu.

Prosiding permohonan itu sedang berlangsung di mahkamah.

Abang Nazrin, Dr Malek Hassan, 60, seorang doktor perubatan sebelum ini mendapatkan perintah untuk bedah siasat kedua selepas kematian adiknya itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata polis sudah mengambil keterangan saksi serta anggota keluarga Nazrin dan akan melengkapkan kertas siasatan “dalam masa terdekat”.

Sekurang-kurangnya lima individu ditahan sebelum ini untuk membantu siasatan, termasuk balu Nazrin dan dua anak tirinya. 

Samirah dibebaskan pada 13 September lalu selepas ditahan reman 10 hari bagi membantu siasatan polis. Beliau ketika itu ditahan pada hari yang sama bekas suaminya juga ditahan.

Dua anak lelakinya, yang juga anak tiri kepada Nazrin, turut ditahan reman. Dua remaja berumur 14 dan 16 tahun itu pada mulanya diperintah ditahan reman selama tujuh hari tetapi dibebaskan pada hari keempat pada 12 September.

Adik Samirah, yang juga adik ipar Nazrin, serta suaminya turut diperintah reman empat hari tetapi dibebaskan oleh mahkamah pada ketiga.

Nazrin ditemui mati selepas bilik tidurnya di sebuah rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara terbakar pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.

Keluarganya mendakwa telefon bimbitnya meletup, menyebabkan kebakaran. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan mengatakan kematian ketua pegawai eksekutifnya itu berpunca daripada letupan daripada telefon bimbit yang dicas di sebelah katilnya. 

Bagaimanapun, bulan lalu, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas penyiasat menemui kesan petrol di bilik tidur berkenaan. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen