SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu menyemak konsert anjuran kelab penyokong Anwar Ibrahim di Port Dickson, yang dijadual berlangsung Sabtu ini, kata badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.
Anwar, yang juga bakal presiden PKR, bertanding sebagai calon Pakatan Harapan melawan calon PAS dan lima calon bebas, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad.
Pemangku Pengerusi Bersih, Shahrul Aman Mohd Saari berkata SPR perlu memastikan tiada calon yang menyalah guna acara tersebut untuk meraih undi, apatah lagi status kos anjuran program itu juga tidak jelas.
“Kalau secara jelas karnival ini suatu kempen, kita (Bersih) dan pemantau lain akan pergi tengok dan kemudian kita tengok pula pada kosnya,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau mengingatkan kos yang boleh digunakan bagi calon pilihan raya kawasan parlimen ditetapkan tidak lebih RM200,000.
“Yang diaudit adalah perbelanjaan untuk calon, tetapi daripada parti atau sumber lain adakah akan diaudit sekali?” tanyanya.
Shahrul menambah SPR seharusnya mengambil kira kos berkempen bukan sahaja calon ahli tetapi sumber parti dan penaja-penaja.
Beliau mengulas mengenai Konsert Piknik PD yang bakal menampilkan antara lain M. Nasir, Awie, Hattan, Ito dan Wani Hasrita. Konsert secara percuma itu anjuran bersama Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani, dan Muafakat Anak Muda Port Dickson.
Jurucakap AIC juga memberitahu The Malaysian Insight, konsert itu bukan untuk kempen Anwar menjelang pilihan raya kecil 13 Oktober ini.
Kata jurucakap itu Anwar dijangka mengunjungi konsert tetapi tidak akan menggunakannya sebagai pentas kempen.
Kos penganjuran konsert itu pula difahamkan dikumpulkan daripada jualan tapak gerai acara karnival dua hari bermula Jumaat ini. – 4 Oktober, 2018.
Komen