Kelab Anwar Ibrahim bawa M Nasir, Awie menyanyi di PD


Nabihah Hamid

Anwar Ibrahim mengadakan kempen di Port Dickson hari ini. Kelab AIC akan menganjurkan konsert yang menampilkan artis terkenal tanah air pada Sabtu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Oktober, 2018.

PENDUDUK Port Dickson, yang kini berdepan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen, akan dihiburkan oleh artis terkemuka tanah air dalam sebuah konsert yang dianjurkan antaranya oleh kelab penyokong Anwar Ibrahim.

Anwar, bakal presiden PKR, bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) melawan calon PAS dan lima calon bebas, termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohd Isa Samad.

Acara diberi nama Konsert Piknik PD itu menampilkan antara lain M. Nasir, Awie, Hattan, Ito dan Wani Hasrita, berlangsung Sabtu ini. Konsert itu diadakan secara percuma.

Konsert itu akan turut disertai kumpulan muzik Khalifah, Gerhana Ska Cinta dan Blank Gamma.

“Ini hanya program, bukan kempen (pilihan raya). Kita anjurkan aktiviti untuk memeriahkan suasana,” kata seorang jurucakap penganjur yang dihubungi The Malaysian Insight.

Konsert itu dianjurkan bersama Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani dan Muafakat Anak Muda Port Dickson.

The Malaysian Insight difahamkan Anwar dijangka mengunjungi konsert itu tetapi tidak akan menggunakannya sebagai pentas kempen.

M.Nasir antara artis yang dijangka membuat persembahan pada Konsert Piknik PD, Jumaat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2018.

Menurut penganjurnya, program itu bermula pada Khamis, 5 Oktober dengan pelbagai aktiviti untuk masyarakat termasuk acara riadah, pemeriksaan kesihatan percuma dan gerai jualan.

“Kita juga akan lancarkan Tabung Wira Cilik Malaysia bagi membantu anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia,” kata penganjur, dalam satu kenyataan.

PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini. – 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen