LIM Guan Eng meragui sama ada ahli PAS bertanyakan soalan yang betul mengenai skandal berbilion ringgit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam mesyuarat meja bulat dengan syarikat pelaburan itu.
Beliau yang juga setiausaha agung DAP turut mempersoalkan PAS yang menyatakan berpuas hati dengan penjelasan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai hutang dan juga pelan rasionalisasi, dan menyatakan parti Islam itu perlu menjelaskan bagaimana jawapan itu memuaskan hati mereka.
“Adakah mereka faham apa yang Arul Kanda katakan? Banyak persoalan yang masih belum terjawab.
“Adakah PAS berpuas hati Malaysia perlu membayar wang yang banyak dan tidak mendapat apa-apa pulangan, dan kelewatan bayaran hutang kepada IPIC (International Petroleum Investment Company).
“Adakah mereka bertanya sama ada kita akan mendapat semula wang itu?” katanya pada satu sidang media di Komtar hari ini.
Arul Kanda dilaporkan meluangkan masa dua jam menjelaskan perkara berhubung 1MDB kepada 30 ahli jawatankuasa PAS pusat yang diketuai Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, dan jemputan, termasuk bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim.
Persoalan itu yang ditujukan kepada PAS dan secara tidak langsung kepada 1MDB, timbul selepas syarikat pelaburan itu menerima satu lagi penangguhan untuk membayar RM2.6 bilion kepada IPIC.
1MDB melepasi tempoh lima hari yang diberikan IPIC selepas gagal membayar pada tarikh akhir asal kepada syarikat pelaburan Abu Dhabi itu pada 31 Julai.
Hutang itu adalah yang pertama bagi dua kali bayaran berjumlah AS$1.2 bilion, kepada IPIC menurut penibangtaraan swasta yang dibuat di London pada April.
Lim mempersoalkan sama ada PAS mengajukan soalan yang tepat kepada 1MDB dan menerima maklum balas memuaskan.
“Adakah mereka bertanya bagaimana wang itu dibelanjakan? Bagaimana dengan saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), berlian pink dan barang kemas kepada Miranda Kerr?”
Beliau merujuk kepada saman sivil yang difailkan DoJ di AS tahun lalu dan tahun ini untuk merampas aset mewah bernilai berbilion dolar termasuk berlian pink berharga RM0117 juta, dan barang kemas berian yang dibeli ahli perniagaan Low Thaek Jho kepada Kerr, seorang model Australia, menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
Lim berkata, lebih baik orang seperti ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, yang memerhati 1MDB sejak beberapa tahun lalu, menghadiri mesyuarat meja bulat itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut membangkitkan mengenai pembelian tanah 1MDB berkeluasan 94.7 hektar di Air Itam tanpa pemilikan 100%.
1MDB dilaporkan membeli tanah di Pulau Pinang tahun lalu pada harga RM1.38 bilion, untuk projek perumahan yang diumumkan sebelum pilihan raya umum 2013.
“Adakah mereka mempersoalkan mengapa 1MDB membeli tanah tanpa mendapat 100% hak milik?” soal Lim.
Berikutan skandal yang menyelubunginya, kerajaan Pulau Pinang membekukan hartanah itu pada 2015, bagi mengelakkan berlaku transaksi tanah dan mengarahkan Pejabat Tanah meminta penjelasan daripada 1MDB.
Harakah Daily melaporkan parti itu percaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas skandal 1MDB, berikutan langkah punitif terhadap pesalah, hanya untuk mendapatkan kembali keyakinan awam kepada kerajaan. – 8 Ogos, 2017.
Komen