PAS berkata penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakanya satu-satunya jalan keluar untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan pada masa sama mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan menyatakan pendirian itu selepas PAS menghadiri Sidang Meja Bulat 1MDB dengan pihak pengurusan 1MDB yang diketuai presidennya, Arul Kanda bersama beberapa tokoh akademik dan ekonomi dalam negara, semalam.
“PAS mencadangkan supaya RCI diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetus kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda Kandasamy diterima masuk dan membuat Pelan Rasionalisasi terhadap 1MDB,” kata beliau sebagaimana dilaporkan lidah rasmi PAS, Harakah Daily.
“PAS mendengar laporan dan penerangan dari pihak yang terlibat dan menerima pandangan dari pakar sebelum membuat sesuatu keputusan, ini adalah penting supaya keputusan yang diambil adalah matang, rasional dan tepat serta jauh daripada terpengaruh dengan permainan media dan ‘political game’ pihak berkepentingan,” kata Nasrudin.
Cadangan mengenai RCI sebelum ini pernah dicetuskan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 13 Oktober 2015 kerana Jawatakuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak mempunyai kuasa dan kemampuan mengendalikannya.
Pada perbincangan itu, PAS menggesa menteri kewangan memberi laporan kepada Parlimen dari semasa ke semasa mengenai 1MDB bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.
“Memandangkan Kementerian Kewangan mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka PAS berpendirian menteri kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa. Ini bertujuan supaya ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal.”
Selain itu, PAS berharap 1MDB perlu diberi peluang menyelesaikan hutang bagi mengelakkan kadar faedah bertambah dan tiada campur tangan politik yang mengganggu Pelan Rasionalisasi.
“Sebagaimana yang disebut presiden PAS, kita tidak mahu isu 1MDB membuka jalan bagi mengundang campur tangan asing dan mahu diselesaikan segera di peringkat dalaman negara. Bebaskan institusi kehakiman dan penguatkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan kepada pihak yang terlibat.”
Antara lain yang hadir dalam perbincangan itu pakar ekonomi dan juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Khalid Ibrahim serta bekas penasihat undang-undang kepada Sultan Terengganu, Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain. – 8 Ogos, 2017.
Komen