Pakatan harap pengundi luar balik pilih 'PM baharu'


Salhan K. Ahmad

Calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim bersalaman dengan seorang pemandu ketika berkempen di Port Dickson hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Oktober, 2018.

PAKATAN Harapan berharap pengundi luar yang memberi kemenangan besar kepada Danyal Balagopal Abdullah pada Mei lalu akan kembali ke Port Dickson pada 13 Oktober untuk mengundi Anwar Ibrahim.

Bekas penyandang kerusi tersebut, Danyal Balagopal Abdullah berkata beliau bimbang pengundi berkenaan menganggap Anwar sudahpun menang pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

“Semasa pilihan raya umum lalu, semua orang mahu balik sebab mahu lakukan perubahan.

“Kali ini, apa yang kita bimbang orang sudah berpuas hati, orang ingat kita pasti menang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, itu isyarat yang diperolehinya semasa kunjungan rumah ke rumah dalam tempoh kempen yang masuk hari kelima hari ini.

“(Pengundi) kata anak tak balik sebab dia kata Pakatan mesti menang, tak perlu datang (mengundi).”

Jelasnya, pengundi juga bersikap demikian kerana lawan yang sepatutnya memberi saingan kuat, Barisan Nasional tidak bertanding.

Bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah mengulas tentang kempen pilihan raya kecil Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2018.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil menganggarkan pengundi luar itu berjumlah kira-kira 30 peratus daripada 75,770 pemilih yang layak mengundi dalam PRK kali ini.

“Mereka rasa kita sudah menang pada 9 Mei dan kali ini kemungkinan akan menang lagi. Mesej kami, jika anda berada di dalam Malaysia, datanglah mengundi.

“Inilah peluang untuk anda memilih seorang perdana menteri Malaysia,” katanya ketika ditemui di Port Dickson.

Sebahagian besar daripada pengundi tersebut adalah pemilih Melayu (43%), diikuti pengundi Cina (33%) dan India (22%).

Seramai 68,486 adalah pengundi biasa, manakala 6,690 anggota tentera, dan 578 pengundi lagi terdiri daripada anggota polis.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berharap pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2018.

Anwar dicabar oleh bekas pemimpin Umno berpengaruh di kawasan tersebut, Isa Samad dan seorang lagi calon dikaitkan dengan parti berkenaan, Saiful Bukhari Azlan yang bertanding Bebas.

Saiful merupakan individu yang pengadu yang mendakwa diliwat Anwar pada 2008 dan bertanggungjawab menyebabkan ketua umum PKR itu meringkuk di penjara selama lima tahun.

PAS pula meletakkan veteran tentera udara Nazari Mokhtar, manakala tiga lagi calon Bebas adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.– 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau org Melayu elok la tak balik. Yg diundi mungkin Isa Samad atau Pas

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan