Rosmah tiba di SPRM untuk soal siasat kali ketiga


Chan Kok Leong

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak dipanggil untuk soal siasat kali ketiga oleh SPRM hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Oktober, 2018.

ROSMAH Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak tiba dengan kereta Perdana hitam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini untuk siasatan kali ketiga, jam 10.42 pagi ini.

Berbaju kurung warna hijau serindit, sedondon dengan selendang, Rosmah ditemani oleh peguamnya.

Pada masa ini belum jelas siasatan apa yang dibuat terhadap Rosmah, 66, kerana SPRM sudah menyerahkan kertas siasatannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk diputuskan sama ada beliau akan didakwa atau tidak.

Ini kali ketiga Rosmah dipanggil untuk soal siasat oleh badan pencegah rasuah itu.

Rosmah disoal siasat selama 13 jam minggu lalu dalam siasatan membabitkan kes rasuah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd iaitu SRC International Sdn Bhd.

Pada 5 Jun, beliau disoal siasat oleh SPRM selama lima jam berkaitan wang SRC International yang dimasukkan ke akaun bank Najib.

Najib dikenakan empat tuduhan rasuah di bawah Akta SPRM dan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – 3 Oktober, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen