ROSMAH Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM) selepas hampir lima jam berada di sana untuk soal siasat.
Rosmah yang tiba di situ pada jam 11 pagi tadi meninggalkan bangunan itu menaiki konvoi empat kereta tanpa memberikan kenyataan.
Peguamnya, K Kumaraendran berkata SPRM sudah menyiapkan proses mengambil keterangan anak guamnya.
“Anak guam kami memberikan kerjasama penuh dan dia dilayan baik oleh pegawai,” katanya.
Katanya, soal siasat itu mengambil masa hampir tiga jam dan anak guamnya sedia membantu lagi jika wujud keperluan.
Beliau enggan menjawab apabila ditanya sama ada Rosmah akan dipanggil lagi untuk beri keterangan.
Selain Kumaraendran, Rosmah juga diwakili oleh Geethan Ram Vincent.
Wanita berusia 67 tahun itu dipanggil SPRM untuk membantu siasatan selepas Najib disoal siat minggu lepas dalam siasatan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat dana pelaburan sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib disoal siasat sebanyak dua kali pada 22 dan 24 Mac berkenaan tiga deposit ke dalam akaun peribadinya daripada SRC International antara Disember 2014 dan Februari 2015.
SRC International didapati memindahkan RM50 juta ke dalam anak syarikat bernama Gandingan Mentari yang kemudian memindahkan wang itu ke dalam Ihsan Perdana. Ihsan kemudian memindahkan wang RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib.
Najib tidak dilihat menemani Rosmah hari ini. Bagaimanapun, anak perempuannya Nooryana Najwa dan menantu Daniyar Kessibayev hadir. – 5 Jun, 2018.
Komen