Rosmah perlu hadir ke SPRM esok 


Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor dipanggil ke SPRM Putrajaya pada jam 11 pagi esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

ISTERI bekas perdana menteri, Rosmah Mansor perlu hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 11 pagi esok bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata SPRM akan mengambil dan merakam keterangan Rosmah berhubung perkara berkenaan.

“Ya, notis telah diberikan kepada Rosmah dan beliau perlu hadir pada esok bagi melengkapkan siasatan berhubung kes ini (SRC International),” katanya.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada  26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.– Bernama, 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen