Tiada peruntukan baharu ganti peruntukan agama anak kekal dalam Akta 164


Diyana Ibrahim

Semalam Azalina menarik balik usul Pindaan Akta 164 yang menambah satu klausa 88A sebelum sesi soal jawab bermula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2017.

TIADA peruntukan baharu menggantikan klausa 88A menyatakan agama anak kekal dalam pembacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Perkahwinan dan Penceraian (Pindaan) 2016.

Bacaan kali pertama bagi RUU kontroversi itu dibentangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman di Dewan Rakyat sebentar tadi.

“Saya mohon mengemukakan RUU Undang-Undang Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Penceraian (Pindaan) 2016 dibaca untuk kali pertama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau seterusnya berkata bacaan kali kedua dan ketiga akan adakan di sidang Parlimen kali ini.

Semalam Azalina menarik balik usul Pindaan Akta 164 yang menambah satu klausa 88A sebelum sesi soal jawab bermula.

Bacaan kali pertama Akta 164 dibentangkan adalah pada November lalu.

Sementara itu, Azalina dalam kenyataannya berkata keputusan Putrajaya memperbaharui Akta 164 tanpa klausa 88A adalah perlu bagi memastikan tiada pihak mencabar undang-undang tersebut yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan serius dalam membuat pindaan terhadap undang- undang ini demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini. 

“Di samping memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah  anak- anak sehingga ke peringkat pendidikan adalah terjamin dan terpelihara.”

Klausa 88A menyatakan agama anak terlibat kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain, adalah tambahan baru kepada pindaan itu.

Ia mencetuskan perdebatan bagi yang menyokongnya kerana ia menjadikan mustahil kepada pasangan yang menukar agama mendapatkan hak penjagaan anak dan menghalang anak beragama Islam.

RUU tersebut dibentangkan selepas tekanan berterusan susulan kes seperti Indira dan S. Dheepa, dimana bekas suami mereka memeluk Islam dan menukarkan agama anak-anak mereka, yang membawa kepada perebutan hak jagaan yang berpanjangan.

Akta 164 bertujuan menggariskan peruntukan baharu iaitu agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan itu.

Ia termasuk sebelum penukaran agama sama ada oleh ibu mahupun bapa.

Pindaan tersebut menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen