Pindaan undang-undang kawal penukaran agama anak ditarik balik


Diyana Ibrahim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan menarik kembali RUU Memperbaharui Undang-undang Perkahwinan dan Penceraian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2017.

PUTRAJAYA hari ini menarik balik cadangan pindaan ke atas Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang akan menghalang penukaran agama anak secara sebelah pihak.

Penarikan balik itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang pindaan itu dibacakan untuk kali pertama di Dewan Rakyat pada November tahun lalu.

Dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Bernama, Azalina berkata pindaan itu dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga selaras dengan prinsip doktrin stare decisis yang mana keputusan Mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Fasal (4) Perkara 12 adalah terikat,” katanya. 

Menurut Azalina, notis pemberitahuan terhadap RUU baharu dihantar kepada Dewan Rakyat. 

“Di bawah Peraturan Mesyuarat 62 saya menarik kembali RUU Memperbaharui Undang-undang Perkahwinan dan Penceraian sepertimana dinyatakan dalam kertas aturan Mesyuarat hari ini yang disenaraikan nombor 10,” katanya di Parlimen.

RUU itu antara lain bertujuan menyelesaikan masalah penukaran agama sepihak melibatkan anak oleh ibu atau bapa.

Pindaan ini dibentangkan tidak lama selepas kontroversi kes Indira dan S Dheepa yang beragama Hindu. 

Dalam dua kes itu, seorang daripada pasangan memeluk Islam dan menukarkan agama anak kepada Islam sehingga membawa kepada perebutan hak jagaan anak yang berpanjangan.

Sebelum ini RUU itu ditangguhkan pada peringkat bacaan kedua pada 6 April lalu.

RUU itu bertujuan memperkenalkan peruntukan baharu yang meletakkan agama kanak-kanak kekal sebagai agama bapa dan ibu semasa perkahwinan.

Cadangan pindaan itu menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas anak tersebut mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen