Putrajaya akan bentang cadangan pindaan baharu, gugur peruntukan agama anak


PUTRAJAYA menggugurkan peruntukan kontroversi yang mengekalkan agama anak sekiranya ibu bapa memeluk agama lain melalui  satu cadangan pindaan baharu terhadap Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) di Dewan Rakyat esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata rang undang-undang pindaan sebelum ini ditarik balik hari ini sebelum sesi soal jawab sehingga mencetuskan spekulasi ia dibuat bagi mengelakkan bantahan dalam kalangan orang Islam yang membentuk majoriti pengundi Barisan Nasional.

Azalina dalam satu kenyataan menjelaskan cadangan pindaan baharu itu akan mengecualikan peruntukan Klausa 88A yang menyatakan agama anak terlibat kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

“Penarikan balik RUU yang dibentangkan pada November itu dibuat supaya tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah itu juga diambil selaras prinsip doktrin stare decisis (terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi) yang mana keputusan mahkamah tertinggi mengenai pentafsiran Fasal (4) Perkara 12 adalah terikat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini. 

Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ditentukan oleh ibu bapanya atau penjaganya. 

“Sehubungan itu, kerajaan berharap semua pihak mengambil perkara ini secara positif demi memelihara prinsip kemajmukan bangsa dan agama dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Semua pihak diharap menyokong RUU baharu ini dan tidak mempolitikkan isu berkenaan,” katanya.

Beberapa kes berhubung status agama anak di bawah 18 tahun dalam kes perceraian dan tuntutan hak penjagaan anak melibatkan pasangan Muslim dan bukan Muslim mencetuskan kontroversi dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Ia kemudian dapat perhatian kerajaan dengan pembentukan sebuah panel yang dianggotai oleh beberapa menteri kabinet bertujuan mencari penyelesaian kepada isu berkenaan.  – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen